#JendelaRamadan: 'Kuih mengecil, bukan niat kami menipu' - Peniaga

Wan Syamsul Amly
Jun 28, 2015 23:57 MYT
Peniaga pasar Ramadan: #JendelaRamadan: 'Kuih jadi kecil, bukan niat kami menipu pelanggan' - Gambar fail
Kemeriahan pasar Ramadan dilihat masih seperti hari pertama berpuasa walaupun sudah lebih seminggu umat Islam mengerjakan rukun Islam ketiga itu.
Rata-rata pengunjung juga dilihat berpuas hati dengan kualiti makanan yang dijual selain kelazatan hidangan yang dibeli untuk berbuka puasa bergantung kepada lokasi pasar Ramadan itu sendiri.
Tinjauan Astro AWANI sepanjang minggu pertama Ramadan juga mendapati orang ramai seperti tidak mempunyai pilihan lain selain ke pasar Ramadan untuk mencari lauk berbuka selepas waktu bekerja.
Alasan mereka mudah, tidak sempat untuk memasak dan penat seharian bekerja menjadikan pasar Ramadan menjadi destinasi utama untuk disinggah selepas tamat waktu pejabat.
Bagaimanapun ada juga rungutan yang diterima mengatakan beberapa harga kuih dan lauk pauk berbeza berbanding tahun lepas.
BACA: Kementerian pantau bazar Ramadan setiap hari
GST penentu harga?
Perubahan harga di antara 50 sen sehingga RM1 untuk setiap hidangan terutama lauk pauk disedari orang ramai walaupun ada juga rungutan diterima kerana antara alasan yang diterima akibat kenaikan harga bahan selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Tinjauan juga mendapati kuih juga mengalami perubahan peningkatan harga atau perubahan saiz yang lebih kecil jika harganya sama seperti tahun lepas.
GALERI FOTO: Sepetang di bazar Ramadan
Beberapa peniaga yang ditemui berkata, situasi itu terpaksa dilakukan demi situasi menang-menang di antara penjual dan pembeli sendiri.
Seorang peniaga lauk yang hanya mahu dikenali dengan nama Halim menjelaskan, beberapa perubahan harga terpaksa dilakukan walaupun ada pelanggan setianya setiap tahun merungut dengan situasi itu.
"Harga lauk pauk paling murah adalah RM5 tahun ini, seperti tahun lepas pelanggan boleh membeli udang atau sotong sambal misalnya dengan harga minimum RM3 tetapi tidak lagi tahun ini.
"Ada pelanggan merungut dan kata kenapa tidak boleh, saya kata bahagiannya terlalu sedikit jika RM3.
"Hendak tidak hendak saya terpaksa menjual dengan minimum harga RM5 juga, bukan tamak atau menipu tetapi terpaksa menanggung kos yang sedikit tinggi dan mahu pelanggan berpuas hati dengan kualiti masakan," jelasnya ketika ditemui.
Untuk lebih banyak kandungan menarik, layari Jendela Ramadan
Peniaga mendakwa beberapa perubahan harga atau saiz bahan jualan di pasar Ramadan tahun ini bukan bermaksud untuk menipu pelanggan - Gambar hiasan
Halim turut mengakui ada pelanggan tetapnya yang menuduhnya menipu namun realitinya tidak sekali-kali.
"Ya, memang ada pelanggan yang kata kenapa saya hendak tipu mereka dengan mengenakan harga minimum jualan lauk, saya tidak menipu, saya terpaksa lakukan begini.
"Seperti yang saya kata tadi, boleh jika dijual RM3 tetapi mungkin hanya satu cedok sahaja, kadang-kadang pelanggan mahu kuah lebih, kita terpaksa menimbang kos semua itu.
"Bukan saya bermaksud terlalu berkira dengan pelanggan tetapi kita juga cari rezeki, kalau untung kurang, nanti kita pula yang tanggung kerugian untuk membayar pekerja," katanya.
BACA: #JendelaRamadan: Bazar Ramadan Stadium Shah Alam paling trending
Karipap tahun ini kecil, kenapa?
Dalam pada itu seorang penjual kuih tradisional pasar Ramadan yang mahu dikenali dengan nama Zaiton berkata, beberapa kuih terpaksa dikecilkan saiznya demi memenuhi harga tahun lepas dan tidak mahu mengecewakan pelanggannya.
"Saya mengaku, ada kuih yang dinaikkan harga sedikit. Ada kuih yang tahun lepas dijual dengan harga RM2 untuk lima ketul namun kini hanya empat ketul.
"Ada beberapa kuih yang kita kecilkan namun tidak mengurangkan isinya seperti beberapa gambar karipap 'tanpa' isi yang dipapar di media sosial. Bukan niat kami untuk menipu pelanggan.
"Apa yang dibuat bukan menipu, jangan tuduh peniaga di sini menipu. Realiti kenaikan harga beberapa bahan membuat kuih harus disedari semua," jelasnya.
Peniaga berkata beberapa perubahan harga atau saiz bahan jualan di pasar ramadan tahun ini bukan bermaksud untuk menipu pelanggan - Gambar hiasan
Harga sama dulu, sama sekarang
Dalam pada itu, seorang peniaga air yang dikenali dengan nama Malek memberitahu, tiada perubahan harga atau kuantiti yang dibuat untuk jualannya tahun ini berbanding tahun lepas.
"Sama sahaja, tahun lepas dan tahun ini kita jual RM3 untuk sebungkus bancuh oren, anggur atau mata kucing.
"Kuantiti gula dan air batu untuk setiap bungkusan juga sama," ujarnya.
BACA: Isu pajeri terung RM10: Peniaga perlu bertimbang rasa, luah netizen
Sebelum ini, tersebar di laman sosial dua keping gambar juadah pajeri terung yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Slim River, Perak. Apa yang mengejutkan adalah harga pajeri terung itu iaitu RM10 untuk empat biji.
Gambar tersebut mula disiarkan di sebuah portal media dan pantas mendapat perhatian netizen.
Menurut pengirim gambar, harga pajeri terung itu sebiji adalah RM2.50 dan ia disifatkan sebagai sangat mahal.
#Bazar Ramadan #kuih #lauk #Ramadan
;