KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Ibrahim Saad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini sekitar jam 11.20 pagi.

Perjalanan terakhir Allahyarham ke negeri abadi berlangsung dalam keadaan cuaca baik dengan dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, sahabat handai dan pemimpin politik.

Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir adalah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; Presiden Pertubuhan Integriti dan Governan Malaysia (MIG), Datuk Seri Akhbar Satar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi; serta Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Selain itu, hadir sama adalah bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharom; dan Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Mohd Shariff Omar.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham dimandikan dan dikafankan di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Solat jenazah kemudian dipimpin oleh anak Allahyarham, Datuk Zairil Ayu dan disertai oleh ratusan jemaah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi pernafasan pada pukul 6.30 petang Jumaat di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Menurut Zairil, Allahyarham  yang berusia 78 tahun mengalami serangan jantung dan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.

Allahyarham Ibrahim berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang dari 1990 hingga 1995, ketika pentadbiran Tan Sri Koh Tsu Koon.

Sepanjang kerjayanya, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua UMNO Bukit Mertajam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Timbalan Menteri Pengangkutan, dan Duta Malaysia ke Filipina.

Selain itu, Allahyarham memainkan peranan penting dalam membantu orang Melayu di Pulau Pinang untuk maju ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri pada awal 90-an.