Jenazah mangsa korban kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung di sini mula dibawa keluar satu persatu pada 4 petang tadi dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur.

Semua jenazah berkenaan akan dibawa ke surau kuarters Hospital Kuala Lumpur untuk dimandikan menggunakan kaedah tayammum, dikafankan dan disembayangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang ditetapkan oleh waris masing-masing untuk disemadikan.

Difahamkan, 12 jenazah awal yang dibawa keluar adalah jenazah yang akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah. Taman Batu Muda, Batu Caves Selangor.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa kira-kira sejam bagi mendapat maklumat terkini berkaitan jenazah selain melawat waris dan anggota keluarga mangsa di IPFN, HKL di sini.

Identiti kesemua 23 mangsa telah dikenal pasti hari ini melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan sejak semalam.

-- BERNAMA