MEKAH: Jaga solat, jaga hubungan dengan mak dan ayah serta guru selain adab sesama kawan, itu antara resepi Muhammad Ameer Che Noor Azam, pelajar Sekolah Menengah Puchong Utama Satu sehingga berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhammad Ameer, 18, yang merupakan antara 31,600 jemaah haji Malaysia musim 1445H/2024 mendapat perkhabaran gembira itu selepas solat Subuh di Masjidil Haram semalam bersama adiknya Muhammad Ammar, 17.

Keputusan peperiksaan itu kemudian dimaklumkan kepada bapanya Che Noor Azam Osman, 63, dan ibunya Kamsiah Mohd Kontol, 51, di hotel penginapan mereka di Abraj Al-Janadriyah di sini yang bersama-sama menunaikan haji.

"Masa pertama kali tengok keputusan memang rasa gembira sebab sebelum ini saya tidak pernah mendapat semua A dalam mata pelajaran yang saya ambil.

"Saya rasa ia satu kejayaan besar dan alhamdulillah, Allah SWT terima doa saya setiap kali solat dan semasa di Raudah baru-baru ini," katanya kepada petugas media di hotel penginapannya di sini dengan ditemani ayah, ibu dan adiknya.

Dua beradik jemaah muda, abang syukur cemerlang SPM

Bagi dirinya, selain menjaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan ibu bapa, guru dan rakan juga tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan reda serta doa mereka.

"Sebabnya kita tidak tahu, mungkin kita sakitkan hati mereka, lalu Allah SWT tarik nikmat daripada kita dan kita tidak mahu perkara itu berlaku, kerana itu kita perlu jaga hubungan kita lebih-lebih lagi dengan Allah," katanya.

Selain itu anak sulung daripada tiga beradik berkenaan turut mengamalkan solat tahajud serta jadual pembelajaran yang lebih fleksibel untuk mengelakkan tekanan serta keletihan semasa belajar dan selebihnya berdoa serta bertawakal selepas berusaha.

Muhammad Ameer yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata di sebalik cerita kejayaan itu, dia juga pernah nakal dan ponteng sekolah semasa Tingkatan Empat, iaitu semasa pasca COVID-19 sehingga ada antara mata pelajarannya merosot menyebabkan dia tersentak dan berazam untuk berubah.

"Apabila saya tengok balik, saya rasa saya perlu ubah perkara itu dan saya pergi dekat kawan saya yang merupakan seorang pelajar pintar. Dia tidak jemu nak mengajar saya dan motivasi saya ketika itu adalah hendak mencapai sama tahap dengannya.

"Sampai satu tahap, saya cuma satu langkah saja belakang dia. Kalau dulu mungkin macam langit dengan bumi, tetapi sekarang jarak sebelah menyebelah sahaja. Itu menyebabkan saya berusaha dan terus berusaha sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang ini," katanya yang turut bersyukur kerana dapat menunaikan haji dalam usia muda bersama keluarganya.

Muhammad Ameer yang juga bekas ketua pengawas sekolah berkenaan mendapat lima A+ dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Fizik; tiga A (Biologi, Kimia, Matematik Tambahan) dan A- dalam pelajaran Bahasa Melayu.

Sementara itu adiknya Muhammad Ammar yang merupakan pelajar tingkatan lima sekolah sama berkata kejayaan abangnya itu merupakan cabaran untuk dirinya dan berazam mengikut jejak mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun ini.

-- BERNAMA