Program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB), yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac lepas, diperluaskan kepada anak Orang Asli bagi memberi mereka peluang menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Induk program, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata pihaknya akan memberi tumpuan beberapa kawasan di Perak, Kelantan dan Pahang yang memiliki komuniti Orang Asli.

"Sehingga kini, program ini telah berada di enam kawasan Parlimen dan kita menyasarkan 64 lokasi dalam tempoh dua bulan ini bagi mencari seramai mungkin pelajar Bumiputera termasuk Orang Asli untuk menyambung pelajaran mereka," katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Pendidikan Bumiputera di Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau di sini, pada Sabtu.

Program anjuran Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia, Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dan Koperasi Profesional Putrajaya (Koprojaya) itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Hilmi Yahaya.

Menerusi JPB, sejumlah 37,000 pelajar dipilih setiap tahun dengan kerjasama institusi rakan strategik pendidikan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Politeknik, Kolej Komuniti, Giat Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pusat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).

Sahol yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YDAB berkata selepas Balik Pulau, program itu akan diteruskan ke Permatang Pauh dan Teluk Air Tawar dekat sini pada Ahad.

Selari dengan objektif program itu, JPB turut menyasarkan untuk mencari seramai mungkin pelajar Bumiputera yang tercicir dan memberi peluang kedua kepada mereka untuk melanjutkan pengajian.

Beliau berkata tumpuan JPB adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari 2011 hingga 2015 kerana kebanyakan kursus yang ditawarkan adalah untuk diploma dan pradiploma serta sijil.

Lepasan SPM yang layak menyertai program JSB turut ditawarkan beberapa kemudahan lain, termasuk pengecualian pembayaran yuran pengajian, katanya.

Sahol berkata program itu susulan keberkesanan program Jelajah Destini Anak Bangsa sebelum ini yang membantu mereka dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sejak lima tahun lepas, program Jelajah Destini Anak Bangsa membantu 30,000 lepasan SPM dan STPM.