Pengarah JAWI Paimuzi Yahya berkata waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya remaja berkenaan tidak bekerjasama, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia.
Beliau menjelaskan kes tersebut akan dibawa ke mahkamah dan perbicaraan akan diadakan sebelum melaksanakan sebarang hukuman atau denda.
Beliau menasihatkan remaja berkenaan memberikan keterangan dalam siasatan supaya isu terbabit dapat diselesaikan secepat mungkin.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur konsert K-Pop B1A4 berikutan perlakuan kurang sopan yang terjadi semasa konsert berlangsung.
Ketua Pengarah Datuk Othman Mustapha berkata perlakuan remaja perempuan Melayu bertudung dipeluk dan dicium oleh ahli kumpulan popular Korea B1A4 Sabtu lepas sangat memalukan rakyat Malaysia, terutamanya yang beragama Islam di negara ini.
Konsert yang berlangsung baru-baru ini dianjurkan oleh WM Entertainment. - Paparan layar YouTube
Video berdurasi tiga minit dan dua puluh satu saat tersebut yang telah tersebar luas itu menunjukkan beberapa perempuan remaja Melayu bertudung dipeluk oleh artis terbabit.
Sehubungan dengan itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Twitter telah melabelkan artis Korea terbabit sebagai "bukan lelaki sejati".
Dianjurkan oleh TGM Event, syarikat berkenaan menjual tiket dengan harga antara RM199 dengan RM799 sebagai bayaran kemasukan dalam sesi bertemu peminat.
B1A4 merupakan kumpulan muzik dari Korea Selatan di bawah naungan WM Entertainment. Album pertama kumpulan tersebut yang berjudul ‘O.K’ telah diterbitkan pada tahun 2011.
Kumpulan tersebut terdiri daripada lima orang ahli, Jung Jin Young, Shin Dong Woo, Lee Jung Hwan, Cha Seon Woon dan Gong Chan Sik.