SANDAKAN: Sekurang-kurangnya lima laporan berhubung amil atau pemungut zakat tidak bertauliah dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) di Sandakan.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguat Kuasa, JHEAINS, Abdul Razak Hamdin menegaskan, memungut zakat fitrah tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan denda.

“Sesiapa yang didapati tidak mempunyai kebenaran maka ia menjadi satu kesalahan dalam enakmen zakat fitrah iaitu seksyen 67.

“Individu yang terlibat boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000,” katanya dalam sidang media sempena Operasi Ramadan di Sandakan, pada Isnin.

Tambahnya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan kerana pihaknya mahu memberi amaran awal kepada individu terlibat agar tidak mengulangi perkara sama.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai di seluruh Sabah agar lebih berhati-hati dan mendapatkan pengesahan identiti pemungut zakat sebelum membuat bayaran.