Jarak laluan bagi program KL Pagi Bebas Kenderaan akan ditambah sekali ganda daripada 7km sekarang kepada 14km bermula Mac 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana program itu, Datuk Naim Mohamad berkata kajian mengenai tambahan laluan itu sedang dilakukan, sebelum ia digazetkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini bagi membincangkan mengenai perkara itu.

"Apabila kita melaksanakan program ini, kita tidak mahu menyusahkan rakyat, kita tidak mahu melibatkan orang lain yang tidak kena mengena dengan program ini akan terjejas sama ada kesenangan mereka ataupun mata pencarian dan sebagainya.

"Sekarang ini kita telah melakarkan satu cadangan, sekarang ini 7km dan diharapkan kita ada satu cadangan untuk menggandakan kepada 14km dengan ciri yang lebih menarik melibatkan monumen bersejarah Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui selepas pelepasan program KL Pagi Bebas Kenderaan di Dataran DBKL di sini hari ini.


Naim berkata, penambahan jarak itu bukan sahaja melibatkan lokasi monumen bersejarah, tetapi bangunan komersial terkenal serta kawasan hijau di sekitar bandaraya.

Terdahulu, seramai 2,500 peserta menyertai program berbasikal bersama rakan dan keluarga di jalan raya utama sekitar bandaraya pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan selama dua jam.

Aktiviti KL Pagi Bebas Kenderaan yang diilhamkan DBKL itu bermula seawal jam 7 pagi hingga 9 pagi yang bukan sahaja mendapat sambutan di kalangan warga kota malah mereka dari Putrajaya dan Kajang turut hadir untuk berbasikal di sini.

Program yang diisi dengan pelbagai aktiviti itu turut dimeriahkan juga oleh pelancong asing yang mengambil peluang beriadah di hujung minggu.