Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meminta pengguna media sosial tempatan supaya menghentikan perbuatan melemparkan tuduhan dan tohmahan terhadap pelarian Rohingya di negara ini tanpa memahami kepincangan dan isu sebenar yang dialami oleh golongan itu.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faizal Abdul Aziz berkata tindakan sesetengah pihak yang menggunakan media sosial untuk mengutuk dan mengecam kehadiran rakyat Rohingya di negara ini sejak akhir-akhir ini adalah tidak wajar.

Sebaliknya, katanya, netizen perlu bertanggungjawab berkongsi maklumat yang dapat membantu membela nasib kaum etnik Rohingya itu dan tidak menimbulkan pelbagai persepsi negatif dan kebencian rakyat terhadap kehadiran mereka di negara ini.

"Sejak kebelakangan ini terdapat pihak-pihak tertentu yang telah menyuarakan banyak kebimbangan dan komen negatif tanpa memahami isu sebenar yang dihadapi warga Rohingya di Malaysia.

"Misalnya, ada yang menulis mengenai pengalaman peribadi interaksi mereka dengan warga Rohingya di mana pelarian ini dituduh sebagai tidak beradab dan pengotor," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia untuk terus prihatin dan mengikuti perkembangan terkini isu Rohingya untuk memastikan masyarakat mendapat berita dan maklumat yang tepat berkaitan krisis kemanusiaan itu.

Pada majlis itu, ABIM turut melancarkan buku 'Rohingya: Bantu atau Bantai' sebagai inisiatif untuk memberi penerangan dan maklumat kepada rakyat Malaysia mengenai kedudukan sebenar isu Rohingya.

Muhammad Faisal berkata buku hasil tulisan aktivis dan guru yang pernah terlibat secara langsung dengan pelarian Rohingya mampu membantu mencerahkan persepsi buruk yang disampaikan oleh pihak tidak bertangggungjawab.

Buku itu bakal diedarkan secara percuma kepada orang ramai pada setiap majlis anjuran ABIM selepas ini.

-- BERNAMA