Kerajaan sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan dan mereka masih perlu patuh pada arahan yang dikeluarkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, PKP kini sudah memasuki fasa ke-3, dan pihak polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang sengaja ingkar arahan berkenaan.

“Jadi sebab itu saya ingatkan supaya terus patuh kepada setiap arahan yang dikeluarkan. Saya nampak macam orang relaks sikit, seolah-olah dah habis PKP dan ramai dah mula keluar.

“Saya nak ingatkan, polis akan meneruskan tangkapan, seperti saya sebut PKP3 ini, tindakan yang keras akan terus diambil,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, PDRM telah menangkap 1,174 individu berbanding 1,111 individu hari sebelumnya, kerana ingkar PKP, merangkumi 1,012 individu yang direman dan 162 individu dijamin polis.

Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 19 April 2020 (semalam), katanya, adalah sebanyak 15,924 individu.

Selain itu, kerajaan turut mengadakan 820 Sekatan Jalan Raya di seluruh negara, dan melakukan pemeriksaan ke atas 369,106 kenderaan.

"Sebanyak 42,482 pemeriksaan mengejut telah diadakan di seluruh negara dengan sebanyak 6,856 premis telah diperiksa oleh pihak berkuasa," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, warganegara asing yang ditahan kerana ingkar PKP tetapi mempunyai dokumen perjalanan sah atau permit, akan dikenakan tindakan sama seperti warganegara Malaysia.

Bagi warganegara asing yang tiada dokumen pula, beliau berkata, mereka akan ditahan dan dihantar ke Depot Imigresen untuk tindakan selanjutnya.