KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing mencadangkan agar lesen bagi syarikat konsesi balak di hulu Batang Baleh tidak diperbaharui.

Ia susulan tindakan tidak bertanggungjawab syarikat konsesi itu hingga menyebabkan sisa kayu hanyut (log jam) di Sungai Baang Baleh.

Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berkata, syarikat-syarikat terbabit beroperasi di sepanjang sungai Batang Baleh tanpa mengambil kira kesan buruk terhadap persekitaran.

"Sudah diketahui umum, termasuk pengendali Projek Hidro Elektrik (HEP) bahawa aktiviti pembalakan berdekatan air di HEP akan menyebabkan pengelodakan serta mengurangkan jangka hayat sesebuah empangan," katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya.

Masing juga pernah menggesa Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta badan-badan yang bertanggungjawab supaya melakukan kajian dan siasatan lebih terperinci berhubung kejadian berkenaan.