KUALA LUMPUR : Negara perlu membuka lebih ruang dan peluang kepada golongan wanita untuk menerajui industri pendigitalan serta aspek pentadbiran di dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), Shahril Anas Hasan Aziz berkata, sumbangan golongan wanita tidak seharusnya diketepikan.

"Wanita telah memainkan peranan penting dalam membentuk industri modal teroka, dan sumbangan mereka tidak boleh diabaikan.

“Sebagai institusi yang memahami kepentingan kepelbagaian dan keterangkuman, kami bertuah untuk dapat memperkasakan golongan wanita dalam apa jua bidang dengan menyediakan mereka pelbagai sumber dan keperluan bagi membantu mereka terus berkembang.

“Kita telah saksikan banyak perubahan yang positif serta memastikan kakitangan dan barisan Lembaga Pengarah kami juga terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman… kami percaya aspek kepelbagaian ini penting untuk membawa kejayaan kepada MAVCAP,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan laporan Persatuan Modal Teroka dan Ekuiti Persendirian Malaysia, hanya 14 peratus pembuat keputusan dalam firma modal teroka Malaysia melibatkan golongan wanita.

Selain itu, penglibatan wanita bagi syarikat permulaan juga kelihatan menerima bahagian pembiayaan yang jauh lebih kecil berbanding rakan sejawatan lelaki kelompok itu.

MAVCAP pada Rabu telah menganjurkan segmen bual bicara selain menunjukkan komitmen jelas dalam menyokong kejayaan usahawan dan inovator wanita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sime Darby.

Perbincangan itu membentangkan pelbagai pandangan tentang cabaran dan evolusi wanita dalam era digital sambil menangani keperluan untuk memecahkan halangan jantina dalam pelbagai segmen industri.