KUALA LUMPUR: Peniaga kedai runcit sekali lagi diingatkan supaya tidak menjual gula secara bersyarat memandangkan ia adalah satu tindakan yang menyalahi undang-undang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata mana-mana peruncit yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan termasuk lesen perniagaan mereka digantung.

"Jualan bersyarat ini salah dari segi Akta Kawalan Bekalan 1961... Kadang-kadang peruncit nak buat keuntungan lebih (memandangkan) gula standard keuntungan mereka sikit sangat, 10 sen.

"Tapi kita kena ingatkan bahawa ini adalah antara perkara yang salah," katanya sambil menyeru pengguna supaya melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika terdapat peruncit yang berbuat demikian.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'Isu Bekalan Gula: Di Mana Manisnya?' terbitan Bernama TV pada malam Selasa.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat peniaga yang mengenakan syarat untuk setiap pembelian dua kilogram gula pasir kasar berharga RM2.85 sebungkus, pelanggan perlu membeli satu kilogram gula putih premium berharga RM4.60 sebungkus.

Fuziah berkata menerusi Ops Manis yang dilancar KPDN sejak awal Mei lepas, sebanyak tujuh kertas siasatan berkaitan penjualan gula bersyarat sudah dibuka namun isu itu berjaya dikawal menerusi tindakan tegas pihak penguatkuasaan yang kerap turun padang memantau situasi.

Mengulas mengenai keluhan rakyat yang berdepan kenaikan harga barang, beliau berkata mereka seharusnya dididik mengenai kuasa sebagai pengguna yang boleh menentukan turun naik harga barangan di pasaran.

"Kita di dalam keadaan pasaran ekonomi terbuka. Rakyat sebenarnya ada kuasa sebagai pengguna. Mereka boleh menentukan penawaran dan permintaan.

"Kalau barang itu mahal, mereka boikot, barang itu akan turun harga. Ini dalam pasaran ekonomi terbuka. Jadi, ini kita kena didik pengguna bahawa mereka ada upaya tersebut," katanya.

-- BERNAMA