Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan umat Islam supaya meningkatkan daya juang sepanjang bulan Ramadan dan tidak menjadikan bulan mulia ini sebagai alasan untuk menjadi insan yang lemah.

Perdana Menteri berkata turut menyarankan bahawa mereka perlu mengambil iktibar daripada sejarah Islam pada zaman Rasulullah yang banyak mencapai kejayaan termasuk dalam peperangan walaupun ketika bulan Ramadan.

"Bulan ini juga seharusnya mendidik kita supaya lebih prihatin kepada permasalahan orang lain terutamanya kepada warga emas, orang kelainan upaya dan miskin yang perlu kita beri bantuan sebanyak mungkin pada bulan penuh keberkatan," katanya.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan kepada 179 warga emas dan 370 ibu tunggal, anak yatim dan mualaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar di Masjid Kampung Nenasi di sini, hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia harus bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa dalam keadaan negara yang aman dan harmoni selain mempunyai kerajaan sentiasa prihatin serta mengambil berat hal permasalahan rakyat.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Ishak Muhamad dan ADUN Bebar, Datuk Mohamad Fakhruddin Mohamad Ariff serta 1,500 penduduk setempat.