KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi iltizam dan komitmennya untuk melindungi kebebasan media dalam melaksanakan tugas, sambil menganggap industri itu sangat penting dalam agenda membangunkan bangsa dan negara.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi iltizam dan komitmennya untuk melindungi kebebasan media dalam melaksanakan tugas.
  • Kerajaan sama sekali tidak boleh berkompromi sekiranya terdapat laporan yang menyentuh mengenai isu sensitif seperti perkauman, agama, dan Raja.
  • Anwar tidak mahu negara dilihat sebagai pelopor kebebasan bersuara sehingga mengorbankan keharmonian dan perpaduan, kerana keselamatan dan rakyat lebih diutamakan.


Namun, tegasnya lagi, Kerajaan sama sekali tidak boleh berkompromi sekiranya terdapat laporan yang menyentuh mengenai isu sensitif seperti perkauman, agama, dan Raja, sehingga boleh menimbulkan keresahan dan memporak-perandakan keamanan negara.

Anwar berkata, beliau tidak mahu negara dilihat sebagai pelopor kebebasan bersuara sehingga mengorbankan keharmonian dan perpaduan, kerana beliau lebih mengutamakan keselamatan dan rakyat.

“Kita tidak boleh berundur daripada iltizam dan komitmen kita (untuk melindungi kebebasan media), tapi negara ini juga mempunyai masalah, isu yang sering menghangatkan suhu politik, menggunakan hal-hal yang dibahaskan lebih setengah abad contohnya, soal kaum.

“Kalau ia berdasarkan fakta tidak apa, tapi kalau sehingga menggugat itu tidak boleh. Apa lagi soal Islam atau agama lain. Apakah agama itu tiada kaitan dengan ihsan, rahmat, dan kasih sayang?

“Apakah mesti melontar idea yang hanya akan menimbulkan prasangka, kebencian, atau kerunsingan? Islam tidak mungkin berkembang dengan pandangan demikian,” tegasnya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas di ibu negara, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai komitmen beliau untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian rakyat di negara ini.

Namun Perdana Menteri berkata, itu sama sekali tidak bermaksud beliau akan berganjak daripada tonggak dan dasar yang menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu yang utama di negara ini.

Tambahnya lagi, beliau hairan dengan sikap sebilangan kecil golongan intelektual, sarjana, malah editor media di negara ini yang dilihat ‘ghairah’ dalam memperkasakan Bahasa Inggeris, tetapi dilihat ‘bisu’ atau ‘kelu’ ketika menyentuh mengenai kepentingan Bahasa Melayu.

“Ini yang timbulkan kerunsingan dan kecurigaan orang Melayu. Tak ada masalah kalau nak mendorong, memperkasa atau mempertingkatkan Bahasa Inggeris, tetapi jangan seolah-olah remehkan Bahasa Melayu. Ini masalah yang harus kita santuni dengan cara yang bijak,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut meminta golongan media untuk bersama-sama menyertai aspirasi Kerajaan untuk membawa negara lebih gagah, aman dan damai, serta mengangkat agenda untuk memperkasa kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital yang lain.

“Tetapi (media) jangan diheret dengan isu-isu yang memecah belah, yang memaparkan kebodohan, keangkuhan, dan akhirnya terhakisnya kemanusiaan kita,” katanya lagi.