GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menjadikan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai antara usaha berterusan memperkasakan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

Ketua Pengarah Jakoa Sapiah Mohd Nor berkata peranan TVET kepada Orang Asli bukan sahaja bertujuan untuk mengasah dan meningkatkan kemahiran yang dimiliki, sebaliknya berfungsi untuk menaikkan taraf pendapatan sedia ada dan membantu ekonomi mereka agar berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

"Berdasarkan peruntukan yang kerajaan beri, Jakoa telah membangunkan 80 peratus ekonomi masyarakat Orang Asli yang rata-ratanya berada di kawasan pedalaman melalui pelbagai program.

"Bukan sahaja program infrastruktur, pembangunan jalan, rumah serta sektor ekonomi melalui bantuan pertanian, keusahawanan dan latihan, baru-baru ini kita memberi tumpuan pada aktiviti TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Orang Asli Negeri Kelantan dan Terengganu di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang, di sini, malam tadi.

Sapiah berkata berdasarkan pengumuman garis kemiskinan yang terbaharu, hampir 80 hingga 90 peratus orang daripada kira-kira 213,000 masyarakat Orang Asli di 835 kampung di seluruh negara yang berdaftar di dalam pangkalan data Jakoa, masih berada di bawah paras kemiskinan di negara ini.

"Garis kemiskinan ini terbahagi kepada dua peringkat iaitu miskin tegar dan miskin. Kita mengenal pasti TVET ini bukan untuk pelajar sahaja tetapi untuk semua masyarakat desa dan kita akan bagi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli dengan memberi pendedahan pelbagai kemahiran.

"Antara program TVET yang kita kenal pasti diminati masyarakat Orang Asli, ialah dandanan, gunting rambut, tatarias, masakan, kemahiran membaiki, bengkel motor, kenderaan dan elektrik," katanya.

Beliau berkata pihaknya yakin program kemahiran ini akan memberi pendedahan dan mampu menyediakan peluang kerjaya kepada mereka sama ada di arus perdana mahupun di dalam kelompok masyarakat itu sendiri.

-- BERNAMA