SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarah melakukan siasatan segera ke atas semua rumah amal dan sekolah di negeri itu yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) serta rangkaiannya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia bagi memastikan tiada perkara bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar disebarkan di rumah amal dan sekolah agama.

"Jika didapati terdapat rumah amal dan sekolah agama terlibat dengan ajaran yang menyeleweng daripada Islam maka penguatkuasaan serta pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 hendaklah dibuat dengan kadar segera.

"Selain itu, sekolah yang telah dikenal pasti terlibat dengan kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam juga hendaklah dibatalkan pendaftarannya di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengambil serius dakwaan penglibatan sekolah agama di Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam.

"MAIS juga memberi arahan tegas untuk memastikan sekolah yang terlibat ditutup dan dibatalkan pendaftarannya," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata GISBH dikaitkan dengan ajaran dan fahaman Kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan di Selangor melalui pewartaan tiga fatwa pada 4 Feb 1993, 11 Ogos 1994 dan 2 Dis 2006.

"Pengharaman ajaran dan fahaman Kumpulan Al-Arqam menurut fatwa-fatwa tersebut termasuk mana-mana cabang atau ajaran lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran dan fahaman itu," katanya.

Susulan itu, beliau menasihati semua umat Islam di Selangor supaya sentiasa berwaspada dan cakna dengan ajaran atau fahaman yang telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada ajaran sebenar.

"Ini untuk mengelak daripada terjerumus atau terlibat dengan ajaran tersebut kerana ia merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Di samping itu, MAIS menyeru orang ramai untuk memberi maklumat kepada Polis Diraja Malaysia atau JAIS bagi memastikan siasatan yang terperinci berhubung dengan GISBH dapat dilakukan dan tindakan penguatkuasaan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA