Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perpaduan dan keharmonian kaum perlu diperkasakan untuk Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan makmur.

Menggunakan analogi pokok damar minyak yang ditanamnya di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 2004, Najib berkata pokok itu dijaga dan dibaja dengan baik sehingga menjadi sebatang pokok yang besar dan kukuh.

"Jangan sekali-kali kita tebang pokok yang kita dah tanam ini, sebab kalau kita tebang, bagi anai-anai makan, pokok rebah dan tumbang, kita tidak ada tempat berteduh (dan keadaan itu akan) menjadikan Malaysia sebuah negara yang gagal," katanya.

Najib berkata demikian ketika merasmikan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di FRIM, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, serta Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) Datuk Azman Amin Hassan.

Najib berkata Malaysia pada hari ini, merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama yang bebas mengamalkan fahaman masing-masing berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata sekalipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama Islam ialah agama rasmi persekutuan, namun penganut agama lain boleh mengamalkan anutan mereka dengan aman dan damai.

Najib berkata sekalipun Malaysia penuh dengan kepelbagaian dan kemajmukan kaum dan agama yang mungkin terlalu kompleks berbanding negara lain, namun asas perpaduan dan keharmonian itulah yang terus meletakkan Malaysia kekal aman dan makmur.

"Kalau kita sebagai pewaris-pewaris kepada pengasas negara (terus) mempertahankan perlembagaan, membawa makna kepada perlembagaan, mengukuhkan (perlembagaan), nescaya, negara kita terus hidup aman harmoni walaupun kepelbagaiannya, kemajmukannya mungkin yang terlalu kompleks berbanding dengan negara lain," katanya.

Najib berkata kepelbagaian itu perlu dipertahan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat serta tidak menjejaskannya dengan perbuatan negatif sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.

"Kita tidak boleh ganggu, tidak boleh sekat atau hina (agama dan kaum lain) walaupun dalam Facebook atau Twitter, kita mesti hormat setiap agama dan penganut...keunikan kepelbagaian ini yang mesti kita pertahankan, kita perkukuhkan sebagai cara hidup Malaysia," katanya.

Najib turut menzahirkan kesungguhannya dalam mengukuhkan lagi perpaduan kaum dan agama di negara ini, sepertimana dilaksanakan pemimpin sebelum ini.

"Kita lihat kesinambungannya, Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Rukun Negara, saya sambung dengan konsep 1Malaysia ditambah konsep wasatiyyah, yang dituntut agama Islam. Saya lanjutkan dengan konsep 'moments of unity' (detik-detik perpaduan)," katanya.

Beliau berkata sambutan perayaan pelbagai agama turut diraikan dan dijadikan sambutan kebangsaan dan ia melambangkan keharmonian negara.