Jadual perjalanan feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis terpaksa diubah berikutan keadaan paras air di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis kembali cetek.


Ringkasan AI
  • Jadual perjalanan feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis terpaksa diubah kerana paras air di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis kembali cetek.
  • Kedalaman air laut dinaikkan dari 1.2 meter kepada 1.4 meter untuk keselamatan feri dan penumpang.
  • Penumpang akan diberitahu tentang perubahan waktu pelayaran melalui email, pesanan khidmat ringkas, dan laman Facebook Cuti Cuti Langkawi. Penumpang juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan untuk penukaran tarikh.


Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, terdapat waktu pelayaran feri terpaksa diawalkan ataupun dilewatkan disebabkan keadaan itu.

Beliau berkata, kedalaman air laut juga telah dinaikkan daripada 1.2 meter (m) kepada 1.4 m demi keselamatan feri dan penumpang.

"Untuk perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis, sebanyak 30 trip terpaksa dipinda kepada waktu pelayaran lebih awal ataupun dilewatkan pada masa dan waktu tertentu antara 7 Ogos hingga 31 Ogos.

"Bagi perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi, sebanyak 22 trip juga terpaksa dipinda pada masa dan waktu tertentu antara 8 hingga 31 Ogos," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jadual perjalanan feri yang terpaksa dipinda pada Ogos.

Beliau memberitahu, makluman tentang waktu pelayaran yang diawalkan ataupun dilewatkan akan dihebahkan melalui email mahupun pesanan khidmat ringkas kepada penumpang yang membuat belian secara dalam talian manakala penumpang membuat pembelian di kaunter melalui laman facebook Cuti Cuti Langkawi.

Tambahnya, penumpang membuat belian secara dalam talian boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Pelanggan, Cuti Cuti Langkawi di talian 012-732 7174 sekiranya ingin membuat penukaran tarikh manakala penumpang yang membuat pembelian di kaunter boleh terus ke kaunter. -Sinar Harian