Aksi ekstrem peserta kumpulan anti-Bersih 4.0 berbaju merah yang diadakan di depan kompleks beli-belah Sogo pada Selasa hanya satu demonstrasi latihan persilatan untuk menunjukkan ahli kumpulan itu bersedia mempertahankan diri.

Demikian penjelasan ketuanya Datuk Jamal Md Yunos apabila diminta mengulas reaksi orang ramai termasuk beberapa pemimpin politik yang menganggap aksi itu sebagai suatu yang tidak rasional dan tidak kena pada tempat serta tujuannya.

“Maksudnya, apabila kami nekad untuk adakan perhimpunan Bersih 4.0, kami juga perlu mempersiapkan diri. Itu adalah satu demonstrasi latihan bagi menunjukkan kami bersedia dengan segala kemungkinan.

“Orang Melayu mempunyai seni silat dan kita sedia maklum bahawa sesiapa sahaja yang mempelajarinya adalah untuk mempertahankan diri dan bukan untuk menyerang apatah lagi menimbulkan huru-hara,” ujarnya.

Tambah Jamal yang mengetuai kumpulan yang dinamakan 'Bersih 4 Cintakan Keamanan', demonstrasi pada Selasa yang menggunakan kayu dan kepingan genting itu adalah sesuatu yang biasa dalam pertunjukan silat Melayu dan pihaknya hanya mempamerkan aksi itu di khalayak umum.

Kumpulannya juga maklum tentang beberapa pihak yang tidak senang dengan aksi mereka namun tidak memaksa sesiapapun untuk bersetuju dengan aksi kumpulan anti-Bersih berkenaan.

“Ini adalah pandangan saya. Saya sendiri telah menyertai perhimpunan jalanan Bersih 1 hingga 3 dan kita tahu bahawa peserta Bersih itu akan berakhir dengan keganasan. Mereka akan membuat provokasi dan rusuhan maka kerana itu kami perlu bersedia,” katanya.

Jelasnya, peserta Bersih juga lazimnya akan membawa pelbagai sepanduk dan slogan yang anti-kerajaan hingga menaikkan kemarahan orang awam serta penyokong-penyokong kerajaan.