KUANTAN: Semua kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sedia disiasat jika ada dakwaan mereka terlibat dengan rasuah berhubung isu pencerobohan tanah Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, untuk penanaman durian.

Pengarah JPNP, Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata isu penerokaan di HSK itu berlaku sejak puluhan tahun yang lepas, iaitu sebelum beliau mula berkhidmat di Pahang dan diketahui umum.

"Kita tiada masalah, jika berlaku ketirisan dan jika ada laporan (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia boleh) siasat. Sebenarnya operasi penguatkuasaan ini adalah operasi yang biasa dilakukan dengan kerjasama agensi lain termasuk pejabat tanah dan polis, namun ia (di HSK Batu Talam) menjadi seperti ini.

"Tapi jika tidak dibuat operasi penguatkuasaan sekarang, bila lagi? Sudah 20 tahun dan kita perlu hentikan. Sejak dua, tiga tahun lepas pun kita banyak membuat operasi bagi memulihkan alam sekitar termasuk di Cameron Highlands," katanya.

BACA: Durian Musang King: Operasi tidak langgar perintah mahkamah, bukan isu perkauman

BACA: Isu pekebun durian: PGA dihantar ke Raub jaga ketenteraman awam - KPN

BACA: 'Siapa Yang Khianat?' - Kronologi dan persoalan isu ladang Musang King haram

Mohd Hizamri berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JPNP dengan syarikat berkaitan penyaduran WASCO Coatings Malaysia Sdn Bhd berhubung kerjasama penanaman dan konservasi hutan di Gebeng di sini hari ini.

Berhubung kesediaan pekebun terlibat untuk berbincang, Mohd Hizamri berkata perkara itu perlu diutarakan kepada kerajaan negeri kerana JPNP hanya sebagai pelaksana operasi memandangkan ia berlaku dalam HSK, selain komander operasi ialah Pejabat Tanah dan Daerah Raub.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi yang melibatkan kawasan seluas 101.17 hektar dalam HSK Batu Talam yang dijadualkan tamat pada 2 Ogos ini, selagi tiada arahan khusus untuk berhenti berbuat demikian.

"Ada yang mempersoalkan mengapa (operasi dibuat) musim buah, tapi jika tidak dibuat bila lagi kerana durian berbuah dua atau tiga kali setahun. Jika tidak dibuat, pekebun akan kembali ke kebun bila musim tiba dan kita tidak boleh berterusan meletak pegawai menjaga kawasan itu," katanya.

Mohd Hizamri berkata, jabatan telah mengadakan sesi libat urus dengan ramai pekebun yang meneroka hutan bagi 'memutihkan kawasan terlibat' sejak 2019, namun tidak mendapat reaksi yang benar-benar positif pihak terlibat.

Beliau juga memaklumkan kawasan terlibat akan ditanam semula dengan pokok hutan bersesuaian dalam kadar segera, justeru tiada jentera berat digunakan dalam operasi itu.

"Kita tidak membenarkan penggunaan jentera untuk mengelak berlakunya pembukaan tanah yang boleh menyebabkan lumpur yang berisiko mencemarkan sungai selain mahu melindungi tanah supaya tidak berlaku pemadatan tanah sehingga menyukarkan aktiviti penanaman pokok.

"Jika ini berlaku, ia akan menambah kos penanaman...selain keadaan cerun dalam hutan tidak sesuai untuk jentera serta terdapat sungai dan jambatan yang akan menyukarkan pergerakan kenderaan berat ini," katanya.