Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini menyatakan kehairanan berikutan kegagalan pihak berkuasa mengesan pembinaan kem pelarian atau perkuburan besar yang ditemui di Wang Kelian, Perlis, baru-baru ini.

Menurut Presidennya, Amidi Abdul Abdul Manan, kegagalan pihak bertanggungjawab dalam mengesan kem tersebut yang dikatakan memakan masa yang lama untuk dibina adalah sukar untuk dibayangkan.

"Kita tak boleh hendak kompromi dan saya tak boleh hendak bayangkan... sebab kem itu sendiri perlu dibina dengan memakan masa yang lama.

"Dan bagaimana kita tak boleh hendak kesan? Kecuali kita sahaja butakan mata dan pekakkan telinga," katanya ketika ditemui selepas menyertai himpunan aman membantah penindasan masyarakat Rohingya yang diadakan di Dataran Merdeka di sini, pada Sabtu.

Protes Rohingya
Gimik mayat yang menggambar kematian masyarakat Rohingya di kem-kem pelarian. Foto AWANI / SHAHIR OMAR

Kata Amidi, tindakan membina serta membiarkan kem dan perkuburan itu dibina, merupakan satu tindakan yang tidak ditolak ansur.

"Sesiapa yang terlibat sama ada menerima sogokan ataupun sahaja menutup mata, maka itu merupakan satu pengkhianatan besar kepada negara," katanya.

GALERI FOTO:
Penemuan kubur dan penempatan pelarian di Wang Burma


Beliau juga menyifatkan pembinaan kem itu sebagai satu kecuaian pihak bertanggungjawab dalam menjaga sempadan.

Amidi juga menyatakan kerisauan sekiranya jumlah sebenar yang terlepas pandang dan tidak diketahui lebih besar berbanding dengan jumlah 139 kubur yang telah pun ditemui.

"Sememangnya dengan jumlah sedemikian boleh mengancam keselamatan negara dan ABIM mendesak supaya siasatan dilakukan dan letakkan keselamatan negara sebagai keutamaam," tambahnya.

Sementara itu, penyelaras kempen #Citizenship4Rohingya, Adli Zakuan Zaira berkata kewujudan kem tersebut sesuatu yang merisaukan.

Adli Zakuan
Penyelaras kempen #Citizenship4Rohingya meluahkan kerisauan atas kewujudan kem dan perkuburan pelarian di Wang Kelian yang ditemui baru-baru ini. - Foto AWANI/Rizal Rahim

"Apatah lagi kem ini dikatakan telah wujud lebih bertahun-tahun lalu ... ini menunjukkan kegagalan mungkin dari sudut kita menjaga sempadan," katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, beliau turut menggesa agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan dibincangkan di Parlimen bagi menangangi isu ini kerana ianya melibatkan isu keselamatan negara.

"Perlu juga ada RCI sebab ini adalah isu keselamatan negara dan orang yang terlibat ialah manusia dan mereka ini terbunuh," tambah Adli.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penemuan 139 kubur pelbagai saiz di kawasan seluas 11 kilometer persegi di gunung Perlis dekat Wang Kelian, Perlis siang tadi.

Pihaknya juga turut menemui satu mayat yang hampir reput dan sejumlah 28 khemah dipercayai pernah digunakan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia yang ditinggalkan kosong sejak beberapa bulan lalu.

Sebelum itu, Kementerian Dalam Negeri pada Ahad juga telah mengesahkan penemuan kubur-kubur besar berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.