Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini memohon diadakan satu taklimat khusus kepada semua Anggota Parlimen berhubung isu antara Malaysia dan Korea Utara.

Wan Azizah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata taklimat itu penting bagi memastikan tiada kenyataan sembarangan dikeluarkan Anggota Parlimen hingga boleh menjejaskan siasatan, sekali gus mengeruhkan keadaan.

Ketika menyampaikan perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sewaktu persidangan Dewan Rakyat, Wan Azizah berkata taklimat itu perlu dibuat pihak berwajib seperti Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri bagi memudahkan proses penerangan.

Menyentuh topik yang sama juga, Wan Azizah turut melahirkan kebimbangan dengan keupayaan pertahanan, aset dan kepakaran dimiliki negara dalam menghadapi situasi ketika ini.

"Adakah pertahanan kita sudah cukup kuat? Apa yang bakal berlaku seterusnya? Semua ini memerlukan penjelasan. Kita semua tidak boleh bercakap di luar pengetahuan kita (sesuka hati)," katanya.

Media rasmi Korea Utara, KCNA semalam melaporkan tindakan Pyongyang menghalang semua rakyat Malaysia dari meninggalkan Korea Utara akan kekal selagi kes pembunuhan Kim Jong-nam di Kuala Lumpur tidak diselesaikan secara baik.

Ketika ini terdapat 11 rakyat Malaysia di Korea Utara yang terdiri daripada tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka.

Dua lagi adalah peserta Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia turut mengambil tindakan yang sama dengan mengeluarkan arahan bahawa rakyat Korea Utara yang berada di Malaysia, tidak dibenarkan keluar atau meninggalkan negara ini berkuat kuasa serta-merta sejak semalam.

-- BERNAMA