Eksekutif pemasaran media sosial, Mohsin Abdul Latif, 34, menjadi saksi pertama pendakwaan membabitkan rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ahli Perniagaan, Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Mohsin yang juga dikenali dengan nama pena Mamu Parpu di media sosial adalah individu pertama yang bertanggungjawab membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) berhubung pembelian rumah banglo Guan Eng di bawah harga pasaran .

Menurutnya, laporan dibuat selepas beliau melihat rakaman berita perdebatan antara Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya dengan Guan Eng berhubung isu berkenaan di Parlimen yang disiarkan di saluran berita tempatan.

Jelasnya, laporan dibuat atas dasar tanggungjawabnya sebagai rakyat negeri itu yang sayangkan Ketua Menteri selain tidak mahu pemimpin itu terpalit dengan tuduhan rasuah.

Barisan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, sementara Guan Eng diwakili oleh peguam, Gobind Singh Deo dan RSN Rayer manakala Li Koon diwakili Datuk V Sithambaram dan manakala Hisyam Teh Poh Teik.

Pada prosiding hari pertama, seramai tujuh saksi dipanggil memberi keterangan kepada mahkamah pada sesi pagi.

Dijangka tiga lagi saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan pada jam 2.30 petang ini.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap Guan Eng dan Li Khoon berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran dihadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Guan Eng bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pindaan tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama Guan Eng sebagai seorang pegawai awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan permohonan perlingkungan semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Am untuk Lot 436 dan 437 Mukim Daerah Barat Daya, kepada Magnificent Emblem Sdn Bhd pada 18 Julai 2014.

Dia dakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ( Akta 694) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan .

Manakala bagi pertuduhan pindaan kedua pula, beliau didakwa telah menerima suatu barang berharga sebagai balasan iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di Jalan Pinhorn, Georgetown daripada seorang ahli perniagaan iaitu Phang Li Koon dengan harga RM 2.8 juta sedang kan nilai semasa hartanah adalah RM4.27 juta pada 21 Oktober 2015.

Bagi kesalahan itu, didakwa dibawah seksyen 165 kanun keseksaan ( Akta 574) yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.