KUALA LUMPUR: Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan akan membuat laporan polis mengenai rakaman perbualan telefon kononnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media, sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi Majlis Kelab Penyokong Kerajaan Barisan (PNBBC) itu menegaskan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan diminta menjalankan siasatan mengenai kesahihan rakaman audio rakaman perbualan telefon yang didakwa antara Presiden UMNO dan Presiden PKR tersebut.

Memetik portal PNBBC, Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis juga meminta pihak lain membuat laporan polis supaya pihak berkuasa dapat menyiasat dan memutuskan kesahihan perbualan telefon berkenaan.

"Biarpun Zahid dan Anwar sudah menafikan perbualan berkenaan yang dikatakan berlaku selepas perhimpunan agung UMNO baru-baru ini, memberikan gambaran bahawa mereka bekerjasama.

"Dalam audio yang didakwa antara presiden saya dan seseorang dari PKR, nama saya disebut. Saya dikatakan telah dicemuh semasa ucapan saya (di Perhimpunan Agung UMNO).

"Zahid mengatakan audio itu palsu tetapi nama saya disebut. Tidak salah bagi sesetengah orang untuk mencemuh saya, mungkin kerana saya bukan penceramah yang baik, tetapi saya ingin tahu apakah perbuatan mencemuh terhadap saya itu dirancang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Zahid Hamidi tidak perlu letak jawatan tetapi berundurlah secara terhormat

BACA: Zahid tidak layak jadi Presiden sekiranya audio tulen, kata Ku Li

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau yang dikatakan menentang tindakan Zahid untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata, beliau berbuat demikian kerana mahu namanya dan Zahid dibersihkan.

LAPOR LANGSUNG: Anwar nafi terbabit dalam audio tular perbualan bersama Zahid

Dalam pada itu, Shahidan juga ada memetik isu sepucuk surat, yang didakwa dikirim kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Zahid dan Datuk Seri Najib Razak, yang menyatakan bahawa mereka dan beberapa Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Surat itu dikatakan palsu tetapi tidak ada laporan polis yang dibuat. Saya setuju bahawa laporan polis harus dibuat kali ini kerana Presiden mengatakan rakaman audio itu palsu," katanya.

Sebelum ini, veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Zahid perlu bertanggungjawab dan tidak layak untuk terus memegang jawatan tersebut sekiranya pendedahan audio antara dirinya dan Anwar didapati tulen.

Tegasnya, banyak pihak terutama ahli-ahli UMNO meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Zahid untuk memimpin parti itu dengan baik.