Isteri kepada juara program keagamaan, Da’i, musim kedua, Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tuduhan menipu seorang peniaga wanita dalam mendapatkan sijil halal menyebabkan kerugian sebanyak RM10,050.

Noorainul Naqim Mohd Radzi, 40, yang lebih dikenali sebagai ‘Dr Erin’, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Noorainul Naqim, yang menjalankan perniagaan sendiri, didakwa mendorong Norsiha Aala, 48, untuk menyerahkan wang berkenaan bagi mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi produk jamu milik mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Keramat, Wangsa Maju, di sini, antara 21 Dis 2017 hingga 26 Feb 2018, dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Da'i Farhan hadir bagi mengikuti prosiding pendakwaan terhadap isterinya yang lebih dikenali sebagai Dr Erin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, 4 Mac, 2020. --fotoBERNAMA

BACA: Isteri Da'i Farhan berdamai dengan bekas madu, tak tolak suami rujuk bekas isteri

BACA: Poligami luar kebenaran mahkamah, Da'i Farhan boleh dipenjara tidak lebih 6 bulan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Shaik Abdullah Abdul Malik, yang mewakili tertuduh, memohon jaminan rendah atas alasan perlu menanggung lapan anak berusia antara lima dan 19 tahun yang masih bersekolah.

BACA: 'Ini perkahwinan ke-3 saya' - Isteri baru Da'i Farhan dedah cinta tiga hari di Makkah!

BACA: "Isteri baharu macam vitamin buat saya" - Da'i Farhan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes.

Noorainul Naqim membayar jaminan tersebut.

-- BERNAMA