Mimi Sharmila Che Hussin, 22, berkata dia hanya sempat bercakap sekejap dengan suaminya sebelum suaminya dilapor hilang di laut.

Dia berkata suaminya Mohd Zawawi Mohamed, 27, ada menghubunginya kira-kira pukul 3 petang semalam.

"Suami saya bertanya khabar sebelum anak perempuan kami yang berusia dua tahun mengambil pula telefon untuk bercakap dengan bapanya.

"Dia ada memberitahu dia letih dan ingin tidur. Selepas saya mengetahui kejadian yang menimpa suami saya, saya terus menghubunginya, namun gagal," katanya di sini hari ini.

Suaminya bersama tiga lagi rakan dikhuatiri lemas apabila bot gentian kaca yang mereka naiki untuk menangkap ikan karam dipukul ombak ketika memasuki muara Kuala Dungun malam tadi setelah berada di laut selama 22 hari.

Mimi Sharmila mengetahui kejadian yang menimpa suaminya kira-kira pukul 10 malam tadi menerusi abang iparnya.

Tiga lagi rakan Mohd Zawawi dalam bot itu ialah Mohd Nazri Yaccob, 37, Che Mohd Afendi Che Ismail, 34, dan Abdul Wahab Zakaria, 44, sementara seorang lagi mereka Mohd Shazrin Yaccob, 33, terselamat selepas berenang hampir tiga jam menuju daratan.

"Suami saya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum turun ke laut, namun seperti biasa dia akan berpesan supaya menjaga diri dan anak kami. Saya berharap sangat dapat bertemu semula suami saya," kata Mimi Sharmila.



Pasukan penyelamat yang menyambung operasi mencari dan menyelamat menemui bot yang dinaiki para nelayan itu pada pukul 10.30 pagi tadi kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata usaha pencarian akan diteruskan sehingga jarak lima kilometer.

Ketua Zon II Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Azmi Abdul Rahim pula berkata pihaknya menjangka kesemua mangsa dapat dikesan dalam tempoh 24 jam jika cuaca baik.

"Namun keadaan cuaca yang berangin serta laut bergelora sehingga mencecah 2.5 meter kini agak menyukarkan operasi pencarian," katanya.

-- BERNAMA