Pimpinan PKR dijangka membincangkan satu lagi nama calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada malam Selasa selepas pihak Istana Selangor difahamkan menolak pemohonan mengadap oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada pagi hari yang sama untuk membincangkan isu berkenaan.










Ia juga disifatkan perjumpaan susulan PKR Selangor selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu pada Isnin.

Menurut sumber dalaman PKR, mesyuarat Biro Politik Pusat PKR itu akan melihat kembali keputusan pencalonan Wan Azizah selain penolakan PAS sendiri yang tidak mahu isteri Anwar menjadi menteri besar.

"Hadi yang telah menyampaikan persetujuan PAS untuk menurunkan Abdul Khalid juga meminta nama lain selain Wan Azizah.

"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Selangor juga sudah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat berkenaan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini.

Menurut laporan Malay Mail yang memetik sumber memberitahu, Istana Selangor menolak permohonan
PKR mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membincangkan isu pemecatan Abdul Khalid dari parti.

Sumber itu turut memaklumkan, difahamkan Anwar sendiri menulis surat permohonan mengadap bagi pihak Wan Azizah yang menjadi calon untuk menggantikan Abdul Khalid.

Bagaimanapun, penolakan surat itu dilihat kerana tindakan tidak wajar PKR dalam proses bertemu pihak istana sendiri.

Dalam pada itu sumber memaklumkan, ADUN Selangor yang dipanggil malam ini akan diminta memberi nama lain untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Semua diminta beri nama lain, boleh calonkan sesiapa yang dirasakan wajar namun akan diputuskan kembali dalam mesyuarat Biro Politik malam ini," ujarnya

Pada Isnin, Sultan Selangor memberi perkenan agar Abdul Khalid mengekalkan tugas sebagai Menteri Besar Selangor.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan pada hari yang sama pula menjelaskan, sehingga ada perkembangan baharu, dia kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Sebelum ini, Sultan Selangor pernah menolak permohonan mengadap Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya mengenai penghapusan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).