Hampir semua orang yang mengenali aktivis hak asasi dan Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez menyifatkan beliau sebagai seorang wanita besi yang memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat.

Fernandez yang meninggal dunia pada Isnin telah menyentuh hati ramai orang.

Aktivis Nalini Elumalai berkata Fernandez merupakan seorang wanita yang memberi inspirasi dan mengajar beliau bagaimana untuk menjadi berani.

“Saya mengenali Irene sejak tahun 2006 dan kami berkerja rapat di dalam isu-isu badan bukan kerajaan (NGO).

“Tiga minggu lepas, saya ada membuat perbincangan dengan beliau mengenai isu migran. Selepas saya mendapat berita bahawa beliau di masukkan ke dalam hospital, saya melawatnya pada Sabtu, saya bercadang ingin melawatnya pada hari ini, tetapi, malangnya beliau telah meninggal dunia sebelum itu.

"Dia seorang pejuang sehingga akhir dan legasi beliau akan berterusan. Dia meninggal baton kekuatan beliau untuk generasi muda dan sekarang kami perlu membawa baton itu, "katanya kepada Astro AWANI.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata sumbangan Fernandez adalah tidak terhingga dan Malaysia akan merinduinya.

"Saya mengenali beliau selama 30 tahun dan kami bekerja bersama dalam banyak isu antarabangsa dan perdagangan. Sebagai aktivis, beliau tegas ke atas hak-hak pekerja asing dan petani, "katanya.

Ahli Majlis Anti-Pemerdagangan Selangor (Mapmas) Abdul Aziz Ismail berkata majlis itu akan tersadung tanpa sokongan kuat dari Fernandez.

“Irene merupakan seorang penyokong tegar isu anti pemerdagangan dan kami telah bekerjasama sejak tahun 1988.

“Beliau merupakan seorang yang kuat dan sentiasa berjuang untuk keadilan. Terlalu awal beliau pergi,” katanya.

Bekas guru sekolah menengah itu meninggalkan kerjayanya pada tahun 1970 untuk menjadi penganjur sepenuh masa bagi pekerja-pekerja muda.

Seorang yang disifatkan sebagai sangat lantang bersuara di dalam sesuatu pergerakan yang dianggotai atau disokong olehnya, mendiang sering mengetuai banyak kempen terutamanya kempen berkaitan kesedaran untuk wanita seperti program kepentingan penyusuan ibu serta menghentikan keganasan terhadap wanita.

Menurut laman web Anugerah Hak Kehidupan (Right Livelihood Award), banyak gerakan wanita ditubuhkan hasil daripada kempen beliau termasuk All Women's Action Society (AWAM).

Irene turut menubuhkan pertubuhan Tenaganita pada 1991 selain memperjuangkan hak-hak pekerja asing, termasuk tiga juta pekerja asing yang berada di Malaysia.

Pada tahun 1995, Irene menyediakan laporan mengenai penyalahgunaan pekerja asing, malnutrisi, penderaan fizikal dan seksual dan keadaan teruk yang terpaksa mereka lalui.

Laporan yang bertajuk, ‘Abuse, Torture and Dehumanised Conditions of Migrant Workers in Detention Centres’, membawa kepada penahanannya setahun kemudian.

Irene didakwa di bawah Seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pada tahun 2003 telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman setahun penjara.

Beliau akhirnya dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas persabitan beliau diketepikan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada tahun 2005, Anugerah Hak Kehidupan untuk "kerja-kerja cemerlang dan keberanian beliau untuk menghentikan keganasan terhadap wanita dan penyalahgunaan pekerja asing”.

Sementara itu, ucapan takziah membanjiri laman media sosial untuk ikon aktivis itu.