Walaupun ada pendapat sinis dan kritikan pedas yang diutarakan oleh segelintir pihak berhubung hasrat Datuk Bandar Ipoh sebelum ini, namun kelebihan yang ada di sini, mampu menarik ramai penggiat filem.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkata, mengambil contoh Korea Selatan yang kini dikenali dunia dengan K-Pop, wakil negara itu sebelum ini pernah ke Malaysia untuk melihat peranan Finas dalam industri.
"Visi Datuk Bandar Ipoh untuk menjadikan bandar raya ini seperti Mumbai, why not? (kenapa tidak?).
"Korea pun masa mula-mula, sebelum ada K-Pop macam sekarang, mereka datang ke Malaysia untuk belajar dengan kita, untuk lihat bagaimana kita (Finas) ditubuhkan.
"Di samping melihat apa skop dan tanggungjawab Finas. Tetapi, malangnya bagi Malaysia dan bagusnya bagi Korea, mereka telah menambahbaik sistem sehingga menjadi negara pengeluar filem yang begitu hebat di seluruh dunia.
"Di Malaysia bukan orang faham bahasa Korea, tetapi mereka minat menonton persembahan lagu dan filem mereka, jadi tidak ada salahnya Datuk Bandar ada visi yang besar.
"Tidak... tidak boleh dan saya tidak setuju (kata terlalu bercita-cita atau angan-angan), saya mempunyai visi yang besar untuk Finas, tercapai atau tidak ialah melalui tanggungjawab dan usaha bersama kumpulan saya, begitu juga Datuk Bandar," katanya kepada Astro AWANI.
Zurainah menjawab soalan pemberita berhubung kritikan dan komen sinis mengenai hasrat Ipoh untuk menjadi bandar raya seni dan filem seperti Mumbai sebelum ini.
Beliau ditemui pemberita selepas kunjung hormat dan perbincangan bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pincer MBI Studio Sdn Bhd, Kah Fee Yee.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pertemuan empat mata itu, Zurainah berkata, pihaknya sedang merangka kerjasama dengan MBI bagi mempromosi Ipoh sebagai lokasi wajib bagi penggiat seni dari dalam dan luar negara.
Tambahnya, usaha dan tindakan Rumaizi yang dilihat agresif mempromosi bandar raya ini ke pelusuk dunia, bertetapan dengan hasrat Finas untuk membangunkan aktiviti seni di Malaysia.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerjasama itu akan diperluas di setiap daerah di negeri ini, termasuk di pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
"Saya optimis dengan usaha yang digerakkan Rumaizi sebelum ini, ditambah dengan lokasi di sini yang sangat bagus.
"Bukan sahaja mereka (Ipoh) dekat dengan kawasan yang banyak gunung-ganang, pemandangan indah. Bila kita ada hubungan erat dengan Datuk Bandar khususnya Ipoh, insyaAllah prosedur itu dapat dipercepat dan mudah.
"Finas akan menggalakkan lebih ramai pembikin filem tempatan dan luar negara untuk lakukan penggambaran di Ipoh," katanya lagi.
Sementara itu, Rumaizi berkata, lokasi Ipoh yang berada di laluan utara dan selatan menjadi kelebihan berbanding tempat lain.
"Selalu orang beranggapan seni dan budaya suatu yang tidak menguntungkan dari sudut kewangan. Kita cuba yakinkan dan tonjolkan ia berbaloi.
"Ini (kunjung hormat Finas) sebagai permulaan kepada hasrat kita untuk jadi bandar seni filem seperti Mumbai, kita dalam perancangan ke arah itu," katanya.