KUALA LUMPUR: Kadar kemandirian kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital (CHD) menyaksikan peningkatan dramatik dalam tempoh 50 tahun lepas, dan mereka berkemungkinan besar bertahan sehingga dewasa susulan pembedahan dengan intervensi yang tepat pada masanya disebabkan oleh kemajuan dalam teknik diagnostik.

Pakar Perunding Kardiologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Ang Hak Lee berkata, satu daripada komponen utama pengesanan awal dalam bidang CHD ialah ujian di tepi katil yang mudah dipanggil pulse oximetry, ujian yang tidak menyakitkan dan memerlukan beberapa minit sahaja untuk mengukur jumlah oksigen dalam darah bayi baru lahir.

"Bacaan oksigen yang rendah boleh menjadi petanda CHD kritikal. Walaupun ia tidak menggantikan sejarah dan pemeriksaan fizikal yang lengkap, ia boleh mengesan kecacatan jantung kritikal sebelum tahap oksigen menjadi terlalu rendah, terutamanya bayi baru lahir dengan ketidakupayaan kongenital utama yang lain," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Dr Ang berkata, teknik pengimejan bukan invasif seperti ekokardiogram dan alat saringan yang canggih membolehkan pakar kardiologi pediatrik mengenal pasti keabnormalan jantung yang paling halus, serta ekokardiografi janin dapat mengesan CHD ketika pranatal.

"Walaupun kami mengesyorkan ujian ini sebagai satu daripada langkah saringan awal untuk pesakit berisiko tinggi, terutamanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap CHD atau kecacatan kongenital, ia meningkatkan peluang pengesanan awal dan rawatan tepat pada masanya," katanya.

Dr Ang berkata, CHD, anomali yang menjejaskan jantung yang berpunca semasa kelahiran, ialah gangguan kongenital paling kerap didiagnosis yang menjejaskan kira-kira 0.8 hingga 1.2 peratus kelahiran hidup di seluruh dunia walaupun tidak mempunyai sejarah keluarga atau gejala yang jelas.

Beliau, bagaimanapun, berkata, risiko CHD meningkat dengan ketara apabila terdapat sejarah keluarga menghidap CHD, khususnya risiko meningkat tiga kali ganda jika ibu mempunyai CHD dan dua kali ganda sekiranya ayah mengalami CHD.

"Dalam kes kritikal, jika CHD tidak dikesan sejurus selepas kelahiran, ia boleh menyebabkan kematian, sesetengahnya dalam tempoh tahun pertama atau beberapa tahun kehidupan kanak-kanak. Itulah sebabnya pengesanan awal dan kesedaran terutamanya dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan CHD, penting untuk menguruskan keadaan itu dengan berkesan," katanya.

Dr Ang berkata, kira-kira 5,000 bayi baru lahir di negara ini didiagnosis dengan CHD setiap tahun iaitu kira-kira dua pertiga daripadanya memerlukan intervensi pembedahan, dan cabaran penting yang dihadapi komuniti penjagaan kesihatan ialah simptom pada bayi lazimnya tidak ketara, membuatkannya mudah terabai.

Beliau berkata, tanda-tanda adalah daripada kesukaran memberi makan kepada warna kebiru-biruan pada kulit dan bibir, serta kebanyakan masa gejala mungkin tidak timbul awal atau asimptot pada beberapa hari pertama kehidupan bayi yang baru lahir.

Justeru, Dr Ang mengingatkan ibu bapa supaya peka dalam mengenal pasti gejala berkaitan CHD pada bayi mereka yang baru lahir, terutamanya jika terdapat sejarah penyakit ini dalam kalangan keluarga.

"Ibu bapa sering mengaitkan penunjuk ini kepada penyakit biasa dan melambatkan diagnosis. Lebih memburukkan lagi keadaan, walaupun CHD ada semasa kelahiran, bukan semua pesakit menunjukkan tanda atau simptom, kadangkala pada usia remaja atau dalam tempoh dua minggu kelahiran seperti ventricular septal defect (VSD) atau atrial septal defect (ASD) yang dikenali sebagai jantung berlubang. Malah, tidak ada yang memberitahu bila atau sama ada ia akan menjadi ketara," katanya.

Beliau berkata, selepas didiagnosis, matlamat utama pakar kardiologi pediatrik adalah untuk membetulkan semua masalah berkaitan dengan kerosakan jantung, kadangkala kecacatan mungkin kecil dan tidak memerlukan rawatan tetapi pemantauan diperlukan untuk menilai sebarang perkembangan penyakit.

Dr Ang berkata, dalam sesetengah kes, rawatan perubatan diperlukan seperti ubat tekanan darah dan irama jantung, sebaliknya jika kanak-kanak atau bayi menghadapi diagnosis kritikal, prosedur atau pembedahan jantung mungkin diperlukan untuk memperbaiki kecacatan jantung.

"Ini termasuk peranti perubatan inovatif dan intervensi perubatan yang kini tersedia untuk meminimumkan risiko pesakit sebanyak mungkin," katanya.

Dr Ang turut menasihati ibu bapa untuk melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang betul bagi membantu anak mereka sepanjang menempuhi keadaan perubatan itu, serta ibu bapa juga perlu bertenang bahawa kemajuan dalam penyelidikan perubatan, program saringan yang lebih baik dan pemahaman keadaan ini yang semakin meningkat menawarkan hasil yang lebih baik kepada mereka yang terjejas.

"Selain itu, ingatlah bahawa pakar kardiologi pediatrik anda boleh menjadi sistem sokongan semasa tempoh ini. Sediakan senarai soalan tentang kebimbangan anda dan berbincang dengan mereka. Kami di sini membantu anda melalui perjalanan ini untuk memberikan anak anda peluang untuk masa depan yang lebih sihat dan cerah," katanya. - BERNAMA