Seorang kanak-kanak yang kehilangan kelima-lima jari tangan kirinya akibat terkena mercun kini ditempatkan di wad biasa selepas menjalani pembedahan.

Pembedahan selama hampir empat jam ke atas mangsa yang berusia empat tahun itu dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Pihak HTAR ketika dihubungi turut memberitahu, mangsa juga mengalami kecederaan di bahagian mata, mulut dan dada.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Tanjung Sepat ketika dihubungi berkata, tiada sebarang laporan dilaporkan oleh ibu bapa mangsa.

Menurutnya, pihaknya sudah menghantar pegawai ke rumah kanak-kanak itu untuk berjumpa dengan ibu bapanya dan menasihati agar mereka membuat laporan polis.

Dalam kejadian pada lapan malam semalam, mangsa dikatakan sedang bermain mercun dipercayai dari jenis ‘A-Boom’ bersama-sama rakannya dihalaman rumahnya di Tanjung Sepat, Banting selepas waktu berbuka.

Kanak-kanak tersebut kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan Tanjung Sepat sebelum dipindahkan ke Hospital Daerah Banting.

Bagaimanapun, keadaan parah itu memaksa mangsa dikejarkan ke HTAR bagi menerima rawatan lanjut.

Pengarah HTAR, Dr. Ding Lay berkata, mangsa dirujuk ke hospital berkenaan pada jam 9.30 malam dan ditempatkan dibawah pemantauan pakar bedah tulang.