"Ini bukan satu bala atau bencana yang menimpa saya sebaliknya ia satu ujian," kata Abd Wahab Yahaya, rakyat Malaysia yang terkandas 22 hari di Krabi, Thailand akibat kemalangan jalan raya di pulau peranginan tersebut, bulan lalu.

Abd Wahab, 56, tiba di Malaysia malam tadi setelah mahkamah Krabi membenarkan beliau pulang sementara atas faktor kesihatan dan perlu menerima rawatan susulan di negara ini.

"Syukur Alhamdulillah kerana dapat balik ke Malaysia sementara. Kes ini tidak selesai lagi. Saya akan kembali ke Krabi," katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Rabu.

Abd Wahab terkandas di Krabi selepas motosikal yang ditunggangnya bersama isteri terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut ketika bercuti pada 19 Dis lalu.

Akibat kemalangan itu, beliau cedera di bahagian mulut dan perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya.

Abdul Wahab selamat tiba di tanah air pada Rabu. - Bernama

Berikut kemalangan itu, Abd Wahab tidak dibenarkan meninggalkan Thailand dan pasportnya juga diambil pihak berkuasa sementara menunggu tarikh perbicaraan selain perlu membayar pampasan kepada keluarga mangsa berjumlah RM200,000.

Media melaporkan seorang warga Thailand yang dikenali sebagai Haji Ismail, yang baru dikenalinya sehari sebelum kemalangan ketika menjamu selera di restoran milik warga Thailand itu, sanggup mencagarkan geran tanahnya bagi membolehkan Abd Wahab diikat jamin.

Mengikut undang-undang di negara itu, pesalah warga asing perlu membayar ikat jamin selain perlu ada jaminan warga tempatan dengan mencagarkan geran tanah atau rumah bagi memastikan individu yang ditahan tidak keluar dari negara itu.

Abd Wahab berkata beliau mendapat layanan baik daripada penduduk tempatan.

"Saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk di Krabi kerana menghulurkan bantuan dan sokongan tidak terhingga kepada saya," katanya.

Mengenai kemalangan itu, Abd Wahab berkata beliau hanya membawa motosikal sewa dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam.

"Saya tidak pasti bagaimana kemalangan itu berlaku, saya sedar-sedar ada benda langgar saya... ini mungkin sudah ajal," katanya.

Abd Wahab berkata beliau dimaklumkan isteri mangsa sedang mengandung.

"Saya dan keluarga akan mengambil anak mangsa itu sebagai anak angkat. Kami bertanggungjawab untuk membantu dan menjaga mereka," katanya.

-- BERNAMA