Ketokohan dan kewibawaan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi antara faktor mengapa beliau dipilih untuk dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Seni bagi Bidang Kepimpinan Sosial, Keusahawanan dan Politik daripada Rangsit University, Thailand.

Presiden Rangsit University (RSU), Dr Arthit Ourairat berkata, pada usia 93 tahun, Dr Mahathir dilihat masih bertenaga dalam membangunkan negara dan rakyat yang disayangi, terutama pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei lalu.

“Beliau merupakan seorang negarawan yang sangat berjaya, termasuk menyelamatkan dan membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang ulung.

“Walaupun sebelum ini beliau pernah bersara, namun beliau kembali untuk menyelamatkan negara (Malaysia) pada usia tersebut,” katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia di sini pada Sabtu.

BACA: Tun M tiba di Bangkok untuk terima ijazah kedoktoran kehormat

ARTHIT: Saya sangat mengagumi Dr Mahathir, ciri-ciri kepimpinan beliau merupakan sesuatu yang amat kami perlukan. - Jabatan Penerangan Malaysia

Mengambil contoh krisis kewangan global pada 1997, Arthit yang pernah berada dalam Kabinet Thailand berkata, cara Dr Mahathir menangani krisis tersebut cukup mengagumkan.

“Kami rasakan beliau seorang hero, yang kami mahukan kepimpinan seperti beliau di Thailand. Beliau merupakan model yang kami mahukan.

"Beliau sangat menyayangi negara, rakyat dan membangunkan segalanya, terutamanya dalam krisis kewangan pada 1997.

“Jika dibandingkan dengan Thailand dan Malaysia, kita sangat berbeza. Kita menghadapi krisis yang sama, tetapi kita tanganinya dengan cara yang berbeza.

“Thailand menderita dengan teruk, berbanding cara beliau mengendalikan situasi itu di Malaysia. Saya sangat mengagumi beliau, dan ciri kepimpinan beliau merupakan sesuatu yang amat kami perlukan,” jelasnya lagi.

Arthit menyambut ketibaan Dr Mahathir di Lapangan Terbang Angkatan Tentera Diraja Thai, 15 Dis, 2018. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Arthit melepaskan jawatan beliau pada 1988 untuk berkecimpung dalam arena politik, dan sekarang kembali memegang semula jawatan sebagai presiden RSU kelima sejak 2001.

Kerjaya politik beliau adalah bersama Parti Demokrat Thailand dan telah memegang banyak jawatan penting dalam Kerajaan Thailand antara 1988 dan 2000.

Antara lain, beliau pernah menjadi Ahli Parlimen selama lima penggal, Luar Negeri pada 1990, Menteri Kesihatan Awam pada 1993, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar pada 2000, serta pernah dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat dan Parlimen Thailand.

Arthit sebelum itu menyambut ketibaan Dr Mahathir yang bakal menerima anugerah tersebut pada majlis konvokesyen universiti itu yang berlangsung pada Ahad.

Dr Mahathir yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba di Lapangan Terbang Angkatan Tentera Diraja Thai pada 3.30 petang Sabtu, disambut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Pendidikan Thailand Teerakiat Jaroensttasin selaku menteri pengiring.

Sebelum ini, antara individu yang pernah menerima anugerah sama adalah Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada 2016 dan Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck pada 2009.