PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini giat menyusun rencana bagi merancakkan industri penjagaan terutama dalam memperkasakan lagi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai badan peneraju.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini termasuklah melatih lebih banyak tenaga pekerja dalam industri penjagaan, dengan matlamat mencapai sasaran 385 individu tahun ini.

Jelas Nancy, perkara ini perlu diberi perhatian terutamanya dalam menghadapi cabaran Negara Menua menjelang 2030, yang memerlukan penjagaan warga emas dilihat sebagai kerjaya profesional.

"Mereka yang memerlukan penjagaan berada di rumah seperti orang tua, anak-anak yang memerlukan, orang kurang upaya seperti cerebral palsy dan sebagainya. Mereka perlu penjagaan yang rapi, perlu orang yang mempunyai profesionalisme dalam bidang penjagaan ini.

"Tetapi ramai kalangan penjaga tak dapat latihan yang sewajarnya melainkan mereka pergi institusi swasta, yang di rumah kita ramai dalam kalangan yang menjaga tidak ada ilmu yang sepatutnya.

"Ini penting kerana menguruskan orang yang memerlukan bantuan memerlukan pengetahuan teknikal," katanya.

Selain itu,  Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Institut Sosial Malaysia (ISM) juga akan menggiatkan lagi latihan dan persijilan Profesion Penjagaan Ibu Selepas Bersalin MamaCare dan juga kursus asuhan kepada pengasuh TASKA.

Nancy juga memaklumkan pihaknya akan meneliti semula akta-akta di bawah KPWKM yang melibatkan penjagaan seperti Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 yang kedua-duanya telah berusia melebihi 30 tahun, bagi memastikan ia selari dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan siri Makmal Pembangunan Pelan Industri Penjagaan di Malaysia, pada Isnin.

Sesi perbincangan sehari itu merupakan satu daripada lima siri yang dirancang bagi membangunkan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia yang dijangka siap pada Julai depan.

Ia diadakan dengan penglibatan pakar dari pihak kementerian dan pelbagai agensi termasuk pertubuhan antarabangsa, institusi pengajian tinggi, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta orang persendirian.