Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata inisiatif Kerajaan dalam mengalakkan aktiviti kekeluargaan turut menarik minat negara lain berkolaborasi dengan Malaysia.
“Begitu juga dengan negara lain melalui ASEAN, mereka banyak mementingkan aktiviti kekeluargaan dan ada juga yang mahu mengadakan kolaborasi dengan kita.
“Insya-Allah Singapura dan juga ada negara lain turut menunjukkan minat adakan kolaborasi dengan Malaysia.
“Ini kerana dengan apa yang kita lakukan di negara ini, banyak aktiviti dan program yang dianjurkan mengukuhkan institusi kekeluargaan termasuk institusi masyarakat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan bertemakan 'Kasih Keluarga, Jiwa Madani' di Taman Botani, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Nancy berkata kejayaan Kerajaan dapat dilihat melalui dapatan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) yang dijalankan oleh KPWKM melalui LPPKN mendapati skor pada tahun 2022 mencatatkan peningkatan berbanding sebelumnya.
“Kita tunjuk indeks IKK, bagaimana kita mencatat peningkatan, itu yang mereka ingin tahu apa yang kita telah lakukan.
“Insya-Allah mungkin akan ada yang datang bersama kita untuk berkolaborasi.
“Singapura mungkin menjadi negara pertama. Negara lain sebab mereka baru mulakan. Singapura mahu berkolaborasi dengan kita, tetapi belum lagi ada persediaan. Tetapi apabila mendengar penjelasan kita, mereka mahu adakan kolaborasi segera tetapi belum ada tarikh sebenar,” katanya.
5 Nov lalu, Malaysia menjadi Pengerusi dalam Special ASEAN Ministerial Meeting on Social Welfare & Development (AMMSWD) bersama Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan & Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad di Singapura.
Antara agenda utama yang dibincangkan antaranya menekankan kepentingan institusi kekeluargaan di setiap negara ASEAN.