BANGKOK: Pertumbuhan industri penjagaan kesihatan Malaysia yang mengagumkan telah mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam pasaran global, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata tahun ini, sektor peranti perubatan Malaysia dijangka menyumbang sebanyak AS$4.19 bilion (AS$1=RM4.69) kepada ekonomi, sementara segmen farmaseutikal menambah lebih AS$1.26 bilion kepada keluaran dalam negara kasar.

"Tahun lepas, jumlah dagangan Malaysia dalam industri penjagaan kesihatan bernilai AS$11.1 bilion dengan eksport produk penjagaan kesihatan berjumlah AS$6.81 bilion, manakala import berjumlah AS$4.29 bilion.

"Prestasi yang mengagumkan ini menggariskan sumbangan penting Malaysia kepada industri penjagaan kesihatan global dan menyerlahkan pertumbuhan teguh serta potensi sektor penjagaan kesihatan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Malaysia semasa Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW 2024), di sini, pada Khamis.

Reezal Merican berkata, industri peranti perubatan Malaysia menggaji lebih 13,000 individu, dan industri farmaseutikal menyediakan pekerjaan untuk hampir 30,000 orang.

Peluang pekerjaan yang luas ini memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup ramai individu.

"Dengan infrastruktur termaju Malaysia, yang merangkumi perkhidmatan pensterilan terkemuka, keupayaan kejuruteraan yang tepat, dan institusi penyelidikan terkenal, kami berdedikasi untuk meletakkan peranti perubatan dan industri farmaseutikal sebagai tonggak penting dalam sektor pembuatan negara.

"Kerajaan secara aktif mempromosikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau untuk peranti perubatan, disokong oleh ekosistem industri yang stabil, kumpulan tenaga kerja yang mantap, sektor kewangan yang berdaya tahan, rangka kerja perundangan yang kukuh, dan sistem logistik bersepadu secara global, meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebagai pengeluar global terkemuka bagi bahan guna perubatan berasaskan getah juga diiktiraf sebagai antara negara terbaik di dunia untuk penjagaan kesihatan.

Malaysia juga merupakan pasaran terbesar bagi peranti perubatan di ASEAN dan sedang giat mengambil bahagian dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri penjagaan kesihatan, katanya.

"Dengan menyertai 16 FTA, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kami memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan yang lancar, menyepadukan Malaysia dengan lebih mendalam ke dalam rantaian bekalan global dan memacu pertumbuhan ekonomi," kata Reezal Merican.

Sebanyak 10 syarikat Malaysia menyertai acara itu, dengan mempamerkan pelbagai produk, termasuk pembuatan bilik bersih, sistem pengudaraan, penderia pintar untuk pencatat data, tiub, peranti terapi elektrik, tiub boleh lipat, tourniquet pakai buang dan kit ujian pantas diagnostik in-vitro (IVD). - BERNAMA