Industri pengeluaran madu lebah kelulut di Sarawak berpotensi besar untuk dimajukan berikutan negeri ini masih lagi kaya dengan khazanah alamnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kawasan hutan tropika Sarawak banyak didiami spesies lebah kelulut terbaik yang tidak lagi terdapat di negara-negara hutan tropika lain di dunia.

"Lebah kelulut itu boleh menghasilkan madu yang mempunyai dua hingga empat kali ganda nilai anti oksidan yang baik untuk tubuh badan manusia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran ladang ternakan lebah kelulut milik RH Bee Farms Sdn Bhd milik Kumpulan Rimbunan Hijau di Nanga Dap dekat sini.

Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Rimbunan Hijau Tan Sri Tiong Hiew King.

Ahmad Shabery berkata, RH Bee Farms Sdn Bhd kini mempunyai lebih 4,000 koloni ternakan lebah kelulut.

Ternakan lebah kelulut di seluruh negara pada masa ini katanya, sudah mencecah 50,000 hingga 60,000 koloni.

"Selain itu banyak lagi kawasan di Sarawak yang boleh dimajukan bagi industri ternakan lebah kelulut kerana negeri ini mempunyai kekayaan alam semulajadinya yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi industri ini," katanya.

Sarang ternakan

Beliau berkata, sumber-sumber kayu untuk membuat sarang-sarang ternakan lebah kelulut di negeri ini masih lagi banyak dan harganya pula jauh lebih murah berbanding di Semenanjung.

Menurutnya, harga kayu untuk dijadikan sarang ternakan lebah kelulut di Sarawak adalah antara RM100 hingga RM200 sebatang berbanding RM1,000 sebatang di Semenanjung.

Sementara itu beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kumupulan Rimbunan Hijau dan pengusaha-pengusaha industri ternakan lebah kelulut untuk mempromosikan penggunaan madu lebah kelulut dalam kalangan rakyat Malaysia.

Antara aktiviti promosi yang akan diadakan ialah Kelulut Walk 2016 yang akan melibatkan duta penggunaan dan pengamal tegar madu lebah kelulut iaitu Pok Sabri Ali dari Terengganu.

Ahmad Shabery berkata, Pok Sabri akan melakukan misi berjalan kaki secara solo ke seluruh negara termasuk Sarawak yang melibatkan jarak 2,000 kilometer dengan tempoh perjalanan selama 50 hari.

"Misi ini akan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records bagi tahun ini. Kita harap Pok Sabri akan dapat menamatkan misi ini dengan jayanya," katanya.

Beliau berkata, misi itu juga bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan AgroPelancongan Antarabangsa (MAHA) 2016 yang akan bermula pada 8 Oktober dan berakhir pada 26 November di tapak Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).