KUALA LUMPUR: Industri gula tempatan memerlukan campur tangan segera kerajaan dengan cara menaikkan harga atau memperkenalkan dasar harga terapung memandangkan industri ini beroperasi dalam persekitaran mencabar dengan kos operasi yang tinggi, menurut MSM Malaysia Holdings Bhd.

Dalam kenyataan pada Selasa, syarikat penapis gula itu menjelaskan sebagai pengeluar makanan penting, pihaknya berperanan memastikan keterjaminan makanan justeru, import bukan pilihan yang mampan.

Ini kerana negara pengeksport mungkin menghadapi kuota eksport yang terhad dari negara pengeluar, terutama India, yang mungkin dihentikan untuk melindungi keperluan domestik, tambahnya.

Kenyataan itu bagi mengulas dan menjelaskan isu yang dibangkitkan menerusi laporan yang diterbitkan media tempatan baru-baru ini mengenai subsidi berkaitan perniagaan gula.

MSM menjelaskan industri gula tempatan tidak lagi menerima subsidi daripada kerajaan sejak 2013 dan beroperasi dalam industri terkawal yang ditadbir oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Harga runcit gula di Malaysia kekal sebagai antara yang termurah di dunia, seperti yang diwartakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Penentuan Harga Maksimum - No. 2, Perintah 2017), menurutnya.

-- BERNAMA