KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 jatuh lapan anak tangga apabila hanya menduduki kedudukan ke 112 daripada 156 negara.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Forum Ekonomi Sedunia (WEF), Malaysia memperoleh 0.676 mata tahun ini berbanding 0.677 mata pada 2020.

Indeks terbabit mengukurnya dalam empat bidang utama, iaitu kesihatan, pendidikan, ekonomi dan politik.

Skor kad Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan Malaysia berjaya merapatkan jurang dalam subindeks pendidikan dan kesihatan.

Namun, tidak dalam bidang ekonomi serta politik.

Pemerkasaan politik merekodkan jurang paling ketara apabila Malaysia berada di kedudukan 128 daripada 156 negara, berbanding di kedudukan 117 pada 2020, dengan skor 0.102 mata.

Turut menunjukkan penurunan skor adalah melibatkan peluang dan penglibatan ekonomi, dengan skor 0.638 di kedudukan 104.

Bidang pendidikan menunjukkan peningkatan 16 anak tangga dengan Malaysia berada di kedudukan 70 (0.994 mata) berbanding 86 pada tahun lalu.

Turut menunjukkan peningkatan adalah bidang kesihatan, iaitu di kedudukan 74, meningkat 10 mata berbanding kedudukan 84 pada tahun 2020.