MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan sembilan wanita warga asing yang disyaki menawarkan perkhidmatan seks dan dua lelaki penjaga premis dalam Op Gegar di tiga hotel bajet di sekitar Taman Melaka Raya kira-kira pukul 10.15 malam semalam.

Pengarahnya Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata kesemua wanita yang berumur antara 25 dan 37 tahun itu terdiri daripada tiga warga Vietnam, Indonesia (tiga) dan Thailand (tiga), manakala pekerja lelaki ditahan yang adalah warga India dan Bangladesh, masing-masing berumur 29 dan 30 tahun.

"Semasa serbuan dilakukan hampir kesemua daripada mereka bertindak mengurungkan diri selain turut mematikan lampu dan penghawa dingin bagi mengelak dari dicekup pihak berkuasa, dan pintu hanya dapat dibuka oleh pihak pengurusan hotel dengan menggunakan kunci pendua.

"Pada serbuan itu 24 orang telah diperiksa termasuk tiga pelanggan warga tempatan dan asing yang sedang mendapatkan khidmat warga asing terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Anirwan Fauzee berkata hasil risikan pihaknya juga mendapati mereka mengenakan bayaran sekitar RM250 hingga RM350 kepada pelanggan, dan boleh memilih pakej disediakan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan menggunakan aplikasi WeChat.

"Enam saman kepada saksi dikeluarkan ke atas pengurus hotel dan pelanggan untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

-- BERNAMA