SUNGAI BULOH: Lima program pra perkhidmatan dan enam program lanjutan di bawah kelolaan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh berjaya menerima akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ILLKM yang dibina pada tahun 2000 berjaya melahirkan seramai 23,295 graduan berdaya saing.

“Dalam pada itu, 27 program ILKKM di seluruh negara turut menerima akreditasi MQA. Ini adalah bukti komitmen tinggi ILLKM kepada kecemerlangan dalam segala aspek program mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis sambutan ulang tahun ke-20 ILKKM Sungai Buloh hari ini.

Tambah Dr Dzulkefly, ILKKM Sungai Buloh turut komited terhadap pelaksanaan Program Lestari (Sustainability Programme).

Buktinya, di bawah penilaian ASEAN Energy Management Scheme (atau AEMAS), ia telah mara daripada penarafan satu bintang pada tahun 2018, dua bintang pada 2020 dan tiga bintang pada 2022.

“Tahun ini juga, ILKKM berjaya mendapat pengiktirafan tiga bintang daripada Malaysian Carbon Reduction and Enviromental Sustainability Tool (MyCREST).

“Semua ini membuktikan komitmen ILKKM Sungai Buloh terhadap pengurusan tenaga yang efisien, mesra alam dan lestari serta pematuhan kepada piawaian pengurusan tenaga yang ketat di Asia,” katanya.