IKEA hari ini menarik balik produk buaian kanak-kanak Gunggung atas sebab keselamatan.

Pengurus kawasan perniagaan Kanak-kanak IKEA, Cindy Andersen meminta para pelanggan yang memiliki buaian itu untuk menjauhkannya serta-merta daripada kanak-kanak dan mengembalikannya ke gedung IKEA untuk menerima bayaran balik penuh.

“IKEA telah menerima laporan insiden yang menunjukkan lengkapan gantung pada buaian Gunggung tidak memenuhi syarat-syarat kualiti IKEA dan boleh mendatangkan risiko kecederaan serius.

“Kami memperkembangkan produk untuk merangsang kreativiti dan keperluan semula jadi kanak-kanak untuk permainan fizikal. Kanak-kanak tidak memikirkan tentang keselamatan ketika bermain, jadi kami perlu melakukannya apabila kami membangunkan produk. Di IKEA, kami hanya menjual produk yang akan kami berikan kepada anak-anak kami sendiri.

“Walau bagaimanapun, kadang-kala, menerusi ujian yang mengikut standard dan peraturan yang ditetapkan, kesilapan masih boleh berlaku. Dengan ini kami menarik semula buaian Gunggung untuk mengelakkan sebarang insiden lanjut.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul, walau bagaimanapun keselamatan sentiasa menjadi keutamaan di IKEA,” kata Andersen dalam satu kenyataan.

Buaian kanak-kanak GUNGGUNG telah dijual di IKEA Malaysia sejak 1 April 2014.

Buaian Gunggung boleh dikembalikan ke gedung IKEA untuk bayaran balik penuh. Bukti pembelian (resit) tidak diperlukan untuk bayaran balik penuh. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Perhubungan Pelanggan IKEA di talian 03-7726 7777.