Pengarah Jabatan Perikanan negeri Kasim Tawe berkata tindakan sedemikian akan mengancam ikan asli yang ada di sungai kerana ikan asing tersebut mudah membiak dengan sangat pantas.
Beliau berkata ia akan menjadi ikan pemangsa serta mengganggu keseluruhan rantaian makanan selain bersaing untuk ruang serta makanan dengan ikan spesies asli sekiranya dibiarkan di perairan sungai di negeri ini.
"Kita memandang serius mengenai ancaman ikan asing seperti baung ekor merah dan ikan bandaraya kerana ia boleh memusnahkan habitat ikan asli di perairan sungai.
"Hasil pemantauan bersama dengan Komuniti Perikanan Darat dan Nelayan Darat hanya terdapat dua sungai yang ada ikan baung ekor merah iaitu di Sungai Triang, Jelebu dan Sungai Muar, Kampung Londah, Tampin, dan kita berharap tiada ikan ini di sungai lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terdahulu Jabatan Perikanan negeri menganjurkan Program Inventori Perikanan Darat dan Buru Ikan Asing, Pulihkan Eko Sistem di Sungai Mambau hari ini.
Beliau berkata program tersebut diadakan susulan aduan diterima daripada penduduk dan nelayan setempat memaklumkan bahawa kekurangan ikan tempatan di sungai.
"Hasil daripada program ini kita hanya menemui dua spesies ikan tempatan di Sungai Mambau, selebihnya ikan asing iaitu ikan bandaraya dan tilapia hitam.
"Tangkapan ikan bandaraya ini akan dilupuskan dengan cara menanam ikan tersebut, manakala ikan tilapia hitam diagikan kepada peserta program yang terlibat," katanya.
Program dua hari itu berhasil menangkap sebanyak 1,094.6 kilogram ikan bandaraya dan ikan tilapia hitam.
-- BERNAMA