Identiti Malaysia perlu diberi keutamaan berbanding dengan hanya memberi tumpuan terhadap aspek bangsa atau kaum jika mahu Malaysia terus gah di mata dunia.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata pada masa sama agenda politik tidak seharusnya menjadi punca kepada isu perkauman di negara ini.

"Identiti kaum atau bangsa seseorang individu itu tidak akan hilang jika identiti sebagai warga Malaysia diutamakan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Siri Syarahan Umum bertema 'Peranan Pendidikan dalam Pembangunan Belia ke arah membangunkan Negara' anjuran Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) di Universiti Malaya.

Selain itu Rafidah menyifatkan tindakan segelintir pihak menggunakan isu perkauman untuk kepentingan politik tersendiri tidak mendatangkan kebaikan untuk negara.

"Jika seseorang menggunakan isu perkauman bagi tujuan politik, jangan benarkan ia berlaku. Jangan beri sebarang kredibiliti kepada mereka," katanya.


Sementara itu, dalam siri syarahan tersebut Rafidah menekankan aspek penyampaian dan pembelajaran sektor pendidikan di negara ini perlu diubah mengikut kesesuaian serta keperluan semasa.

Rafidah berkata Gen Y adalah generasi universal di mana pengaruh dunia digital yang disampaikan menerusi media sosial mempengaruhi kehidupan mereka.

"Sistem pendidikan dalam negara ini perlu memenuhi keperluan generasi baharu ini dan dilakukan dengan cara dan persekitaran yang bersesuaian.

"Kita sebagai pendidik tidak boleh ketinggalan," tambah Rafidah.

Beliau turut menekankan kepentingan pelajar mendapat pendedahan awal terutamanya mengenai usaha malaysia ke arah pembentukan komuniti serantau, ASEAN.

Sementara itu, dengan pembangunan negara ekonomi baru diseluruh dunia, golongan muda Malaysia perlu bersaing terutamanya dalam pasaran dan pelaburan.

Rafidah berkata Malaysia sebagai negara sedang membangun, keutamaan perlu diberi kepada inovasi.

"Jika inovasi tidak diberi keutamaan, kita tidak akan mencapai status negara maju, dan meneruskannya bagi masa hadapan," kata Rafidah.

Beliau menegaskan golongan muda perlu mempunyai pemikiran global dan sikap prihatin terhadap isu semasa dan pembangunan yang sedang berlaku di sekeliling mereka.