"Luluh hati saya melihat mayat anak, Nazirul Nasyat apabila tiba di tempat kejadian. Pemergiannya dalam sekelip mata sehinggakan tak sempat makan sup ayam yang diminta arwah sebelum kejadian," keluh ibunya Norazian Md Zain.

Dalam kejadian kira-kira 1.10 tengah hari, Muhammad Nazirul Nasyat Mat Isa yang berusia sembilan tahun maut Jumaat lepas selepas jatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Mawar, Selayang Mulia, Gombak.

Norazian, 37, tidak menyangka hasrat menjamah sup ayam merupakan permintaan terakhir anak ketiga daripada empat adik beradik itu.

"Masa kejadian, saya baru sahaja pulang dari sekolah selepas ambil kakaknya dalam pukul 1 tengah hari. Kira-kira dua ke tiga minit masuk rumah, saya terkejut apabila jiran datang memberitahu perkara itu dan saya terus bergegas ke tempat kejadian.

"Pada sebelah pagi, selepas bangun arwah terus tenung saya dan ayahnya... saya pun tanya kepadanya kenapa, tapi dia diam sahaja. Dia juga tidak berkelakuan pelik selain tiada selera makan dan minum disebabkan demam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini pada Ahad.

Sementara itu, bapanya Mat Isa Mohd Wadi, 41, seorang jurujual berkata beliau tidak menyangka kejadian itu akan berlaku kerana anak tunggal lelakinya sering diingatkan tentang perihal bahaya memanjat tembok.

"Masa kejadian, saya ada di rumah sebab ketika itu saya pun demam. Saya memang tak perasan waktu mana dia keluar dari rumah.

"Jarang dia pergi main di kawasan itu (dari tempat arwah jatuh), bagi saya tak mustahil dia dengan sendirinya panjat tembok itu sebab ia lebih tinggi daripada arwah," katanya sambil memberitahu anaknya itu menyimpan hasrat membeli ''punching bag'' dengan duit tabungnya sendiri.

Meskipun masih bersedih, beliau reda dengan pemergian anaknya. Keluarganya turut diziarahi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar di kediaman mereka hari ini.

-- BERNAMA