Wanita berumur 41 tahun yang bekerja sebagai tukang urut itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun lapan bulan dan bayi lelaki berumur setahun satu bulan di sebuah pangsapuri di Taman Kosas, Ampang di sini pada 7.27 malam, 7 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan menanggung keluarga.
Hakim Norshila Kamaruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Nov ini untuk prosiding jatuh hukum dan fakta kes.
Pada 11 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan dua kanak-kanak lelaki yang disyaki didera dan dikurung di dalam sebuah rumah di Taman Kosas pada 7 Okt.
-- BERNAMA