Maznah Adnan, ibu kepada seorang daripada rakyat Malaysia di Korea Utara melahirkan rasa syukur dengan berita kepulangan anaknya yang dijangka tiba pagi esok.

"Alhamdulillah.. saya merasa bersyukur selepas mendapat berita daripada siaran TV tadi," katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Katanya beliau kini berada di Kuala Lumpur dan akan menetap di salah sebuah hotel di sana.

Maznah, 63, adalah ibu kepada Iza Karmila Ramli, 33 tahun.

Selain Iza Karmila, Mohd Nor Azrin Md Zain (menantu) dan tiga cucunya Annur Zulaikha, Aynur Zhafirah serta Ayscha Zinnirah adalah antara sembilan warganegara Malaysia yang "terperangkap" di Kedutaan Malaysia di Pyongyang.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kesemua rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara kini dibenarkan pulang ke tanah air.

Najib berkata kesemua mereka berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam ini waktu Malaysia dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pukul 5 pagi esok.

--BERNAMA