KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang mencapai usia enam tahun wajib mendapat pendidikan rendah dari darjah satu hingga enam dan ibu bapa yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996.

Ketua Penolong Setiausaha Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Izyan Hazwani Ahmad berkata selain itu, ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke rumah amal pada usia muda bukan sahaja boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pendidikan malah dihukum di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

"Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan bahawa pengabaian melibatkan kegagalan menghantar anak ke sekolah boleh menyebabkan hukuman lebih berat.

"Bagaimanapun, kes ini sukar untuk dibawa ke mahkamah kerana dilema kemiskinan tetapi jika jelas terdapat unsur pengabaian, ibu bapa boleh disabitkan," katanya kepada Bernama.

Rabu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan serta menyelamatkan 402 individu berumur satu hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi oleh sebuah syarikat.

Menurut siasatan penghuni rumah amal terbabit yang merupakan generasi ketiga dan keempat, tidak mendapat pendidikan formal sebaliknya hanya belajar di rumah amal itu yang merupakan satu kesalahan.

Sementara itu, pengasas bersama Yayasan Chow Kit Datuk Dr Hartini Zainudin berkata sesetengah ibu bapa tidak menyedari kepentingan pendidikan arus perdana dan menganggap rumah amal sebagai alternatif yang memadai.

"Hasil kajian mendapati 80 peratus kanak-kanak yang dihantar ke rumah amal bukanlah anak yatim sebaliknya datang daripada keluarga yang menghadapi masalah ekonomi, sosial dan keselamatan," katanya.

Presiden Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM) Datuk Dr Raj Karim pula berkata tindakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke rumah amal tanpa penyeliaan saudara-mara atau ibu bapa untuk tempoh panjang adalah tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, peniaga Rohaizan Ismail, 45, berkata beliau tidak sanggup menghantar anak-anaknya ke rumah amal pada usia muda kerana mereka masih memerlukan kasih sayang ibu bapa.

Penghantar makanan, Abdul Muiz Abdullah turut menyuarakan pendapat bahawa ibu bapa perlu memanfaatkan waktu anak-anak kecil untuk membentuk ikatan kasih sayang dalam keluarga.

Dalam siasatan terbaru, polis mendapati 59 daripada kanak-kanak tersebut termasuk 10 orang kurang upaya (OKU) dan autisme telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk ditempatkan sementara di rumah perlindungan di Bukit Beruntung, Cheras, dan Seremban.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata beberapa mangsa dipisahkan daripada ibu bapa mereka sejak berusia dua tahun dan ada yang bertahun-tahun tidak bertemu ibu bapa mereka yang berada di luar negara termasuk di Arab Saudi dan Turkiye atas arahan syarikat terbabit.

-- BERNAMA