Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa direman dua hari mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 berkaitan kenyataannya mengenai 'mati syahid' baru-baru ini.

Perintah tahanan reman sehingga esok itu dikeluarkan Majistret Nik Habri Muhamad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di mana Husam ditahan.

Polis membuat permohonan untuk menahan reman Husam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Salor melalui Pegawai Penyiasat ASP Noland A/L Janah.

Husam, 54, ditahan pada 4 petang semalam di Kampung Pandan, Ampang, Selangor oleh polis Bukit Aman dan kemudiannya dibawa ke Kota Baharu malam tadi.

Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lalu berkata peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan Black 505 di Padang Merbok di sini semalam dianggap sebagai 'mati syahid'.

Bercakap kepada pemberita, Peguam Hisham Fauzi berkata seramai 10 peguam akan mewakili Husam bagi kes tersebut.

Wartawan dan jurugambar tidak dibenarkan memasuki IPD berkenaan yang dijadikan mahkamah majistret sementara.